Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

5 kesilapan lazim 'resume' yang harus dielakkan

Resume atau CV ibarat pandang pertama antara bakal majikan dengan pemohon kerja. Lantaran itu, ambil perhatian tentang lima kesilapan lazim ini yang menurut perunding kerjaya harus dielakkan, supaya dapat lebih meyakinkan bakal majikan.

Anggaran Waktu Membaca:
5 kesilapan lazim 'resume' yang harus dielakkan

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Frederic J Brown)

BERITAmediacorp: Resume atau Curriculum Vitae (CV) - iaitu senarai pengalaman kerja dan latar belakang pendidikan - ibarat pandang pertama antara bakal majikan dengan pemohon kerja.

CV yang ditulis dengan teliti dan meyakinkan akan memberi gambaran awal atau 'first impression' yang lebih baik kepada bakal majikan, lantaran mencerahkan lagi peluang si pemohon kerja untuk mendapatkan temuduga.

Lantaran itu, ambil perhatian tentang lima kesilapan lazim yang menurut perunding kerjaya harus dielakkan, supaya dapat lebih meyakinkan bakal majikan:

1. JANGAN BERJELA-JELA

5 hingga 7 saat - itu sahaja masa yang diluangkan seorang bakal majikan untuk mengimbas resume sebelum memutuskan untuk menilainya dengan teliti atau terus mengetepikannya, menurut agensi pakar pengambilan kerja Michael Page.

Lantaran itu, elakkan resume yang panjang lebar. Sebaiknya, hadkan kepada dua muka surat dan secara tuntas tonjolkan dengan ketara pengalaman dan kejayaan yang relevan dengan pekerjaan yang dimohon.

2. RESUME 'TANGKAP MUAT'

Setiap syarikat dan jawatan pekerjaan memerlukan pengalaman serta kemahiran berbeza-beza. Bayangkan sahaja bagaimana reaksi bakal majikan bila melihat resume yang sekali pandang, menyenaraikan banyak pengalaman atau kemahiran yang tidak relevan. Berkemungkinan besar, nasib tidak akan menyebelahi pemohon.

Laman Robert Walters, satu lagi perunding kerjaya, menekankan pentingnya menyesuaikan resume dan surat permohonan mengikut apa yang benar-benar dicari sebuah syarikat dan bukan menulis secara tangkap muat atau memberi gambaran terlalu umum.

3. KESILAPAN TUMPU PADA CIRI DAN BUKAN MANFAAT

Dengan ruang amat terhad namun begitu banyak yang ingin disampaikan kepada bakal majikan, amat penting setiap CV atau resume ditulis ibarat 'alat pemasaran' - menonjolkan nilai tambah yang anda bawa kepada syarikat dan bukan sekadar senarai tanggungjawab dan kemahiran anda.

(Gambar fail: TODAY)

Jobstreet Singapore menekankan apa yang lebih penting bagi sesebuah syarikat adalah: bagaimana calon itu boleh membantu syarikat, bukan perkara tidak relevan yang pernah beliau lakukan pada satu ketika dahulu.

4. KURANG PENJELASAN

Meskipun CV perlu ditulis secara ringkas dan tuntas, ini tidak bermakna butir-butir penting tidak ditulis secara lengkap.

Sebagai panduan, laman Robert Walters menyenaraikan tiga perkara yang perlu jelas kelihatan dalam resume: peranan dan tanggungjawab anda, pencapaian anda dan manfaat yang diraih oleh syarikat.

5. EJAAN, FORMAT DAN LAIN-LAIN

Apabila sekeping dua dokumen itu menjadi satu-satunya pengantara, penyampaian juga penting selain isinya. Gunakan font yang lazim dan kemas agar tampak profesional dan periksa sebarang kesilapan ejaan mahupun bahasa. Meskipun nampak remeh, ini merupakan kesilapan yang kerap kali disenaraikan oleh banyak laman pengambilan kerja dan panduan kerjaya.

CV yang penuh dengan kesilapan membayangkan calon itu tidak teliti - pastinya satu first impression yang tidak diingini.


BANTUAN PERCUMA BAGI MENULIS RESUME, CV

Poster acara 'Skills for Future Jobs' anjran bersama BERITAmediacorp dan SENSE.

Acara Skills for Future Jobs anjuran BERITAmediacorp dan Mendaki SENSE pada Sabtu ini (27 Jul) akan menghimpunkan para pakar penasihat kerjaya dan karyawan yang boleh membantu.

Turut hadir adalah sekitar 20 penyedia kursus kemahiran dan syarikat yang menawarkan jawatan-jawatan kosong dalam sektor-sektor pertumbuhan.

Masuk adalah percuma.

Lungsuri laman ini bagi cara pendaftaran dan bagi maklumat lanjut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan