Images
  • srbf teo chee hean

4 MoU dimeterai bagi pertingkat keterhubungan serantau

SINGAPURA: Empat perjanjian yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama pasaran serantau, ditandatangani di Forum Perniagaan Serantau Singapura.

Semasa berucap di majlis itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean berkata keterhubungan di dalam ASEAN adalah kunci bagi kumpulan serantau itu kekal berdaya saing dan berdaya tahan.

Singapura, katanya, mempunyai kelengkapan untuk membantu membangun dan menghubungkan rantau ini.

Dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat Singapura mengenal pasti potensi kerjasama bagi projek-projek di bawah inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera dan di Kemboja.

Dua lagi inisiatif akan memberi tumpuan terhadap mengukuhkan perdagangan dalam perkapalan dan logistik antara China dan ASEAN.

Perjanjian-perjanjian itu dimeterai tepat pada waktunya memandangkan rantau ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.

Namun Encik Teo akur, potensi ASEAN hanya boleh dikecapi jika ia mengharungi cabaran-cabaran seperti pembangunan infrastruktur.

Encik Teo menyeru para pemimpin perniagaan dan pemerintah supaya bekerjasama bagi menguruskan projek-projek infrastruktur.

Tambahnya, untuk berjaya, ia memerlukan kepakaran dan kerjasama secara kolektif dari pemain swasta, pemerintah dan bank pembangunan pelbagai hala.

Bank Pembangunan Asia menganggarkan Asia Pasifik memerlukan pelaburan infrastruktur AS$22.6 trilion (S$31.4 trilion) antara 2016 dan 2030.

Namun, beberapa negara masih lagi berdepan dengan cabaran untuk menyediakan infrastruktur bagi penduduk yang semakin bertambah.

Persekutuan Perniagaan Singapura percaya menghubungkan Asia bukanlah satu-satunya cabaran. Ini ditambah pula dengan iklim ekonomi global yang semakin rumit dan tidak menentu.

Encik Teo berkata dengan keterbukkaan Singapura terhadap perniagaan, kebolehan untuk berinovasi dan fokus terhadap kemampanan, ia boleh membantu meneroka potensi Asia.

Sekitar 600 pemimpin perniagaan dan pegawai pemerintah dari 50 negara menghadiri forum tersebut. 

- CNA/NU/fz

Top