Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

$320 juta lagi diperuntukkan untuk lanjutkan rebat levi pekerja asing

Sebanyak lagi S$320 juta diperuntukkan bagi melanjutkan rebat levi pekerja asing untuk firma-firma dalam sektor binaan, limbungan marin dan proses, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (1 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
$320 juta lagi diperuntukkan untuk lanjutkan rebat levi pekerja asing

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Aug 2020 01:25PM Dikemas Kini : 02 Aug 2020 12:18AM

SINGAPURA: Sebanyak lagi S$320 juta diperuntukkan bagi melanjutkan rebat levi pekerja asing untuk firma-firma dalam sektor binaan, limbungan marin dan proses, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (1 Ogos).

Langkah itu menyusuli maklum balas bahawa kebanyakan daripada sekitar 15,000 firma dalam sektor-sektor ini masih berdepan masalah kewangan kerana tidak dapat beroperasi semula akibat langkah COVID-19, menurut MOM dalam satu kenyataan media.

"Keadaan ini dijangka berterusan hingga dormitori-dormitori pekerja asing diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada jangkitan pada Ogos 2020 dan para pekerja secara bertahap-tahap dibenarkan untuk menyambung semula kerja mereka selepas itu," menurut MOM.

Sehingga hari Selasa (28 Jul), sekitar 85 peratus pekerja asing - atau sekitar 262,000 pekerja - sama ada sudah pulih atau diuji negatif COVID-19, naik daripada 247,000 yang dilaporkan pada minggu lalu, menurut kemas kini MOM pada Rabu.

Ramai daripada mereka tinggal di dormitori yang disahkan bebas COVID-19 atau blok untuk pekerja yang sudah pulih, dan hanya boleh bekerja semula sebaik sahaja para pengendali dormitori, majikan dan pekerja melakukan persiapan yang perlu untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan baru.

PENGECUALIAN LEVI PEKERJA ASING DILANJUTKAN HINGGA DISEMBER

Di bawah Belanjawan Kecekalan, semua firma dalam sektor binaan, limbungan marin dan proses menerima pengecualian levi sebanyak 100 peratus untuk Jun dan pengecualian levi sebanyak 50 peratus bagi Julai.

MOM menyatakan pada Sabtu bahawa ia akan menaikkan tahap pengecualian levi untuk bulan Julai kepada 100 peratus. Para majikan yang sudah membayar 50 peratus daripada levi itu akan dikembalikan jumlah yang sudah dibayar, menurut MOM.

Levi-levi bagi bulan Ogos dan September juga akan dikecualikan sepenuhnya, menurut MOM.

Selain itu, bantuan pengecualian levi pekerja asing akan dikurangkan secara bertahap-tahap sehingga hujung tahun ini, satu langkah yang bertujuan memberikan syarikat-syarikat lebih banyak masa untuk membuat penyesuaian, menurut MOM lagi.

Oleh demikian, para majikan akan menerima pengecualian levi sebanyak 75 peratus bagi Oktober, diikuti dengan 50 peratus bagi November dan 25 peratus pada Disember.

REBAT LEVI PEKERJA ASING $375 DILANJUTKAN SELAMA 2 BULAN

Dalam kenyataan yang sama, MOM juga menyatakan rebat levi pekerja asing sebanyak S$375 untuk bulan Julai yang diumumkan dalam Belanjawan Kecekalan akan dilanjutkan selama dua bulan lagi.

Ini bermakna firma-firma dalam ketiga-tiga sektor berkenaan akan menerima rebat S$375 bagi setiap pemegang Pas S dan Permit Kerja untuk bulan Ogos dan September. Ini menggantikan rebat S$90 yang diumumkan pada 27 Jun lalu.

Rebat itu kekal pada S$90 antara Oktober tahun ini dengan Disember 2021.

"Ini merupakan masa mencabar bagi sektor binaan, limbungan marin dan proses," kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo dalam satu catatan Facebook pada Sabtu.

"Dengan ramai pekerja asing tidak dapat ditugaskan sedang proses kelulusan dormitori dijalankan, firma-firma menghadapi masalah kewangan. Aliran tunai merupakan keprihatinan utama, terutama sekali memandangkan bayaran terikat dengan tahap penyelesaian dan syarikat-syarikat masih berdepan dengan kos perbelanjaan tinggi."

Menurut Cik Teo, Pemerintah maklum akan cabaran yang dihadapi oleh industri-indusri dan sedang "bekerja keras" untuk menyelesaikan proses kelulusan dormitori dan melaksanakan langkah COVID-Safe Restart supaya kerja-kerja dapat disambung semula dengan selamat di tapak-tapak kerja.

Bagaimanapun beliau menambah, meskipun setelah semua dormitori diisytiharkan bebas COVID-19 pada Ogos, ia akan masih mengambil masa sebelum keadaan menjadi "stabil sepenuhnya".

"Meskipun kami mahu bergerak cepat, kami perlu memastikan bahawa kami melakukan tugas yang menyeluruh, supaya sektor ini tidak terjejas oleh satu lagi penularan," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan