Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

3 kesan besar penurunan mata wang Yuan China terhadap ekonomi S'pura

Pada 5 Ogos lalu, China mengambil langkah menurunkan nilai mata wangnya, Yuan, sebagai satu lagi responsnya dalam perang dagang dengan Amerika Syarikat sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pada 5 Ogos lalu, China mengambil langkah menurunkan nilai mata wangnya, Yuan, sebagai satu lagi responsnya dalam perang dagang dengan Amerika Syarikat sekarang.

Langkah itu sekali gus menjadikannya lebih bersaing dan eksport negara itu lebih murah, namun ia mempunyai kesan terhadap ekonomi dunia lainnya.

Pakar kewangan dan ekonomi, Saktiandi Supaat berkongsi tiga kesan dan akibat yang boleh berlaku dek langkah menurunkan nilai Yuan kepada Singapura dan rantau ini.

Langkah Beijing menurunkan nilai Yuan, kali terakhir dilakukannya empat tahun lalu, demi merancakkan eksport dek ekonomi yang lembab.

Langkah serupa yang dilakukannya itu juga dipercayai berteraskan matlamat yang sama, sehingga menyaksikan Yuan merosot lebih empat peratus dalam tempoh dua hari.

Itu berlaku di tengah-tengah krisis perdagangan Amerika-China di mana Washington mengenakan cukai tambahan 10 peratus bagi AS$300 bilion (S$416 bilion) barangan diimport China, sekali gus menjadikannya lebih mahal.

IMPAK #1: JUMLAH PELANCONG MUNGKIN MENURUN

Memberikan ramalan pertamanya, Encik Saktiandi berkata, sektor pelancongan dan runcit, besar kemungkinan akan terjejas apabila Yuan menjadi lemah.

Ini memandangkan jumlah terbesar pelancong ke Singapura tahun lalu ialah pelancong China iaitu seramai 3.42 juta orang.

"Pelancong yang kurang datang ke sini akan mengurangkan pembelanjaan mereka di Singapura dan di rantau ini juga. Jadi kesannya kepada sektor pelancongan di Singapura mungkin kita lihat akan lebih teruk jika penurunan yuan itu semakin lemah," kata Encik Saktiandi yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Global, Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing, Maybank.

IMPAK #2: MATA WANG NEGARA-NEGARA JIRAN MEROSOT

Jika Yuan terus merosot, mata wang serantau termasuk Singapura, juga akan merosot dengan banyak.

Ramalan ini dibuat berdasarkan trend-trend yang pernah berlaku sebelum pada masa lalu.

Menurut Encik Saktiandi: "Selalunya jika mata wang negara China menurun umpamanya 10 peratus, mata wang di rantau ini juga menurun dari jangkauan sifar hingga 5 atau 6 peratus."

IMPAK #3: BARANGAN CHINA AKAN JADI LEBIH MURAH

Dengan Yuan menjadi lebih murah, tentunya barangan dari China turut akan lebih murah.

"Jadi jika mata wang negara China lemah, bermakna, kita akan kurang keupayaan untuk bersaing dengan pengeksport-pengeksport daripada negara China," ujar Encik Saktiandi.

Dalam perkataan lain, syarikat-syarikat pengeksport Singapura akan terjejas dan natijahnya keuntungan syarikat-syarikat tempatan juga akan berkurangan.

Namun demikian Encik Saktiandi berkata, masih ada kemungkinan positif kepada rantau ini ekoran tarif Amerika terhadap eksport China.

Memberikan rumusannya, situasi yang dihadapi sekarang akan mungkin memberi pilihan kepada Amerika bagi mengimport lebih banyak barangan daripada negara-negara Asia seperti Vietnam, Malaysia dan Indonesia, sebagai alternatif.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan