Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

2 skim baru bantu SME susun semula bayaran hutang

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang berdepan dengan cabaran aliran tunai disebabkan oleh COVID-19 boleh menyusun semula pinjaman mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
2 skim baru bantu SME susun semula bayaran hutang

(Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 02 Nov 2020 09:22AM Dikemas Kini : 02 Nov 2020 09:24AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang berdepan dengan cabaran aliran tunai disebabkan oleh COVID-19 boleh menyusun semula pinjaman mereka dengan Persatuan Bank Singapura yang melancarkan dua skim baru pada Ahad (1 Nov).

Mulai Isnin (2 Nov), syarikat-syarikat perniagaan yang layak boleh mendapatkan bantuan Credit Counselling Singapore untuk menyusun semula hutang perniagaan tanpa cagaran melalui Skim Pemilik Tunggal dan Perkongsian (SPP).

Skim itu membolehkan bayaran ansuran yang lebih rendah setiap bulan bagi pinjaman perniagaan tanpa cagaran dengan melanjutkan tempoh pembayaran pinjaman sehingga tempoh maksimum selama lapan tahun.

Kadar faedah untuk menyusun semula pembayaran bagi pinjaman itu bergantung kepada syarat-syarat asal kontrak pinjaman masing-masing yang dihadkan pada tujuh peratus setiap tahun.

Matlamat skim itu adalah untuk membantu para pemilik tunggal dan perkongsian bisnes yang walaupun mengalami kesulitan untuk melunaskan pinjaman masing-masing tetapi berpotensi untuk bangkit semula.

Syarikat-syarikat SME yang mengambil pinjaman lebih daripada satu pemiutang boleh membuat permohonan bagi Skim Sokongan Lanjutan - Khusus (ESS-C) yang akan membantu menyusun semula kemudahan kredit bagi pinjaman daripada pelbagai bank dan syarikat kewangan.

Kemudahan kredit itu termasuk pinjaman di bawah Program Pinjaman Sementara dan Skim Pinjaman Modal Kerja Dipertingkat Enterprise Singapore.

Bagi memohon ESS-C, syarikat-syarikat SME boleh menghubungi bank dan syarikat kewangan masing-masing mulai hari ini sehingga 30 Jun 2021.

Sumber : Today/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan