Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

10,000 peniaga F&B dibantu; Pakej Rangsangan Penghantaran Makanan dilanjutkan lagi sebulan

Skim bagi membantu perniagaan F&B mengurangkan kos menyediakan khidmat penghantaran makanan dan kos beralih ke wadah online dilanjutkan lagi sebulan sehingga 15 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jun 2021 08:17PM Dikemas Kini : 13 Jun 2021 08:56PM

SINGAPURA: Skim bagi membantu perniagaan F&B mengurangkan kos menyediakan khidmat penghantaran makanan dan kos beralih ke wadah online dilanjutkan lagi sebulan sehingga 15 Julai, umum Enterprise Singapore pada Ahad (13 Jun).

Sejak ia diperkenalkan semula, pada 16 Mei, Pakej Rangsangan Penghantaran Makanan sudah membantu lebih 10,000 perniagaan F&B, dedah Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling.

Skim tersebut diperkenalkan pada April 2020 ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan kemudian dihentikan selepas sekatan dilonggarkan.

Ia diperkenalkan semula untuk mempertingkatkan sokongan bagi perniagaan F&B di tengah-tengah tempoh yang mencabar bagi industri itu, kata Cik Low.

Kini terdapat 13 rakan niaga yang turut menyertai skim itu selepas tujuh syarikat berbuat demikian termasuk platform penghantaran makanan Bungkus dan pemain logistik pihak ketiga Chope, GrabExpress, pandago, DLVRD, Milkrun dan YY Circle.

"Secara khusus, Pakej Rangsangan Penghantaran Makanan diluaskan dan dilanjutkan...bertujuan mengurangkan kesan gangguan dan menawarkan sokongan jangka panjang meskipun selepas orang ramai boleh makan di luar mulai 21 Jun ini," tambah beliau.

Dari sekarang hingga 15 Julai, Enterprise Singapore akan membiayai 5 mata peratusan kos komisen yang dikenakan keempat-empat platform penghantaran makanan - Bungkus, Deliveroo, foodpanda dan GrabFood.

Agensi itu juga akan membiayai 20 peratus kos penghantaran makanan yang ditempah menerusi kesemua sembilan rakan logistik pihak ketiga yang menyokong inisiatif tersebut.

Merujuk kepada data Jabatan Perangkaan, Enterprise Singapore menyatakan bahawa pandemik COVID-19 dan gaya pengguna yang berubah-ubah memacu permintaan bagi khidmat penghantaran makanan.

"Unjuran awal berdasarkan dua minggu pertama Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dari 16 Mei hingga 29 Mei menunjukkan jumlah purata harian bagi penghantaran makanan yang disokong oleh pakej rangsangan itu hampir 20 peratus lebih tinggi berbanding purata harian ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu," menurut Enterprise Singapore.

Kata Cik Low, skim itu "akan mengukuhkan kedudukan perniagaan F&B sedang ia beransur pulih dengan meraih kemahiran dan platform baru yang penting untuk pembangunan masa panjang". 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan