Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

1,000 karyawan akan diambil bekerja, timba kemahiran baru jelang pelancaran 5G di S'pura

Seramai 1,000 karyawan akan diambil bekerja atau dilatih untuk menimba kemahiran baru bagi menyokong pelancaran 5G di Singapura, dengan 300 daripada jawatan itu adalah peranan baru. Demikian diumumkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media pada Selasa (29 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Sep 2020 01:37PM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 12:20AM

SINGAPURA: Seramai 1,000 karyawan akan diambil bekerja atau dilatih untuk menimba kemahiran baru bagi menyokong pelancaran 5G di Singapura, dengan 300 daripada jawatan itu adalah peranan baru. Demikian diumumkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media pada Selasa (29 Sep).

Baki jawatan lain adalah bagi karyawan telekomunikasi yang akan dilatih untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam bidang rangkaian 5G, keselamatan siber dan kejuruteraan huraian.

“Permintaan bagi karyawan 5G dijangka meningkat sedang momentum pelancaran 5G Singapura berjalan lancar dengan lebih banyak perusahaan menyertai ekosistem ini," jelas IMDA yang bekerjasama dengan rangkaian-rangkaian mudah alih negara untuk menggajikan dan meningkatkan lagi kemahiran para karyawan.

Di peringkat global, pandemik COVID-19 "mempercepatkan usaha untuk beralih ke pendigitalan," kata Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Selasa (29 Sep) di acara ConnecTech Asia.

"Singapura komited untuk membuat pelaburan besar dalam 5G kerana peluang menarik akan merangsang perniagaan, pekerja dan individu," kata menteri itu.

"Jalur lebarnya yang lebih tinggi, kependaman yang lebih rendah dan keupayaan rangkaian dinamik akan membuka laluan kepada aplikasi baru yang sebelum ini tidak mungkin dapat dicapai.

"Produk dan khidmat baru dalam bidang-bidang seperti robotik dan kenderaan tanpa pemandu, Internet of Things serta realiti tambahan akan mewujudkan aliran pendapatan baru yang diharap akan dapat menokok lagi AS$2.2 trilion (S$3.01 trilion) kepada ekonomi sejagat menjelang 2034.

"Perusahaan mesti merebut peluang ini untuk berinovasi dan menambah nilai perniagaan dalam bidang-bidang yang menjanjikan ini."

Di bawah inisiatif Pemacu Kemahiran Teknologi (TechSkills Accelerator), IMDA sudahpun menubuhkan Jawatankuasa Transformasi Tenaga Kerja 5G bersama dengan para pengendali rangkaian mudah alih untuk menyelia perancangan dan pembangunan keupayaan 5G, menurut penguasa itu.

"Jawatankuasa ini akan mengenal pasti keperluan bakat kami (pengendali rangkaian mudah alih), dalam pelbagai fungsi seperti rangkaian 5G, keselamatan siber dan kejuruteraan huraian," tambah Encik Iswaran.

"Pada masa yang sama, kami ingin memastikan kami memiliki tenaga bakat kukuh yang bersedia untuk bertugas."

IMDA juga akan melantik sebuah konsortium yang terdiri daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Politeknik Singapura (SP) sebagai Pengurus 5G dan Program Telekomunikasi.

Konsortium itu akan menyelaraskan program-program untuk membangunkan kemahiran merentasi ekosistem 5G termasuk pengendali rangkaian mudah alih, perusahaan pengguna akhir dan syarikat teknologi, kata Encik Iswaran.

"Rancangannya adalah untuk bekerja dengan industri dan melengkapi 5,000 karyawan dalam tempoh tiga tahun seterusnya bagi membangunkan tenaga kerja berkemahiran 5G yang kukuh," tambah IMDA.

Latihan bersama pengendali rangkaian mudah alih akan bermula pada hujung tahun ini.

Encik Iswaran menambah "tenaga kerja yang kukuh dan berkemahiran", bersama dengan prasarana dan ujian 5G, "penting untuk memperluaskan keupayaan inovasi Singapura".

Pada Jun lalu, Encik Iswaran mengatakan Singapura berada di landasan yang tepat untuk menawarkan rangkaian 5G di seluruh negara pada tahun 2025. Ini setelah Singtel dan usaha sama oleh StarHub serta M1 diberikan kontrak akhir untuk mengendalikan rangkaian 5G di negara ini. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan