Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

1,000 jawatan kosong F&B tidak terisi, menurut persatuan restoran

Beberapa restoran sedang berusaha mendapatkan pekerja bagi memenuhi sekitar 1,000 jawatan kosong sedang perniagaan bertambah rancak selepas khidmat dibenarkan semula untuk pelanggan menjamu selera di kedai. Namun selama lebih sebulan, jawatan kosong yang ditawarkan tidak terisi.

Anggaran Waktu Membaca:
1,000 jawatan kosong F&B tidak terisi, menurut persatuan restoran

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Nov 2020 10:44AM Dikemas Kini : 04 Nov 2020 10:49AM

SINGAPURA: Beberapa restoran sedang berusaha mendapatkan pekerja bagi memenuhi sekitar 1,000 jawatan kosong sedang perniagaan bertambah rancak selepas khidmat dibenarkan semula untuk pelanggan menjamu selera di kedai. Namun selama lebih sebulan, jawatan kosong yang ditawarkan tidak terisi.

Jawatan-jawatan itu tersedia seawal 14 Sep, apabila Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata Persatuan Restoran Singapura (RAS) sedang bekerjasama dengan para anggotanya untuk menyediakan lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan kepada para kakitangan yang diberhentikan dari Singapore Airlines (SIA).

Menurut RAS pada Jumaat (30 Okt), tiada sebarang jawatan yang ditawarkan telah diambil.

Kerja-kerja kosong itu meliputi peranan di barisan hadapan dan di belakang tabir termasuk kakitangan khidmat, pembantu dapur, ketua tukang masak dan pengurus, tambahnya. Gaji yang ditawarkan adalah dari S$1,300 hingga S$7,000 sebulan.

RAS bekerja secara langsung dengan SIA bagi menyebarkan tentang peluang pekerjaan itu, kata jurucakapnya kepada Mediacorp.

Selain daripada sektor penerbangan, persatuan itu juga bekerjasama dengan agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) serta Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), bagi menarik mereka yang kehilangan pekerjaan dalam sektor hospitaliti dan pelancongan untuk beralih ke sektor makanan dan minuman (F&B).

Sementara jawatan pengurusan berkemahiran lebih tinggi seperti pengurus cawangan memerlukan pengalaman berkenaan, para pengendali F&B "rela dan terbuka untuk melatih para pendatang baru" bagi jawatan berkaitan perkhidmatan, menurut RAS.

"Malangnya, sejauh ini kami belum menerima sebarang respons positif dari syarikat-syarikat dalam sektor ini," tambah jurucakap itu.

KEKURANGAN TENAGA KERJA

Industri F&B merupakan antara yang teruk terjejas oleh pandemik COVID-19, khususnya apabila khidmat digantung untuk para pelanggan menjamu selera dalam premis semasa "tempoh pemutus rantaian jangkitan", sekaligus memaksa perniagaan memberhentikan kakitangan untuk terus bertahan.

Minor Food Singapore, misalnya, terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada tenaga kerja asingnya sedang ia cuba "melindungi sebanyak mungkin pekerjaan (tempatan)", kata ketua eksekutifnya Dellen Soh.

"Semasa tempoh pemutus jangkitan, terdapat banyak penyusunan semula dan ramai dalam industri F&B menjalankan operasi dengan jumlah kakitangan yang terhad hanya untuk bertahan dan mengharungi tempoh itu," tambah Encik Soh.

Namun, sedang ekonomi dibuka semula dengan khidmat disambung untuk pelanggan menjamu selera dalam premis, ramai pengendali F&B mengalami kekurangan tenaga kerja.

Pelaksanaan langkah pengurusan selamat khususnya, memerlukan tenaga kerja yang tetap, menurut RAS.

Ini termasuk pengambilan suhu serta mengingatkan pelanggan tentang peraturan seperti memakai semula pelitup selepas selesai makan. Bagi sesetengah syarikat, ini mungkin melibatkan perubahan operasi yang lebih besar.

Beberapa perniagaan F&B memberitahu Mediacorp meskipun dengan pasaran buruh yang lembap serta peningkatan kadar penggangguran, mereka kurang berhasil dalam menarik pekerja tempatan.

Encik Soh berkata pekerjaan dalam sektor F&B memang tidak pernah popular dalam kalangan rakyat Singapura kerana waktu bekerja yang lama dan keperluan bekerja syif. Pandemik dan kesannya terhadap pekerjaan tidak begitu mengubah tanggapan tersebut.

"Ia tidak masuk akal kerana beberapa sektor memberhentikan pekerja tetapi kami sukar mendapatkan pekerja... Dengan situasi kini, anda boleh lihat bahawa pekerjaan F&B bukan pilihan utama rakyat Singapura meskipun terdapat kadar pengangguran yang tinggi."

Selama ini industri tersebut bergantung kepada pekerja asing dan untuk melakukannya sekarang adalah sangat sukar.

RAS menyatakan perniagaan-perniagaan menghadapi kesukaran memperbaharui permohonan pas kerja bagi para pekerja asing mereka, dengan kawalan sempadan menambah kepada cabaran pengambilan pekerja.

Ini di samping had maksimum nisbah tanggungan (DRC) lebih ketat, yang merujuk kepada nisbah pekerja asing yang boleh digajikan oleh sesebuah syarikat, dan had gaji lebih tinggi bagi para pemegang Pas S.

Menyentuh tentang bagaimana untuk memenuhi jawatan-jawatan kosong itu, RAS menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi, termasuk WSG dan NTUC, bagi "membuka peluang pekerjaan dalam sektor F&B kepada masyarakat lebih luas".

Ia juga sedang bekerjasama dengan WSG untuk menganjurkan acara kerjaya secara maya yang tertumpu kepada sektor F&B bagi mendekati mereka yang berminat mendapatkan pekerjaan dalam industri itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan