Skip to main content

Iklan

Iklan

Kes COVID-19 dikesan dalam kalangan penjual ikan di 10 pasar lain

 Sebanyak 163 kes jangkitan baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Isnin (19 Jul). Ini termasuk 116 kes yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan 20 kes yang terkait kelompok KTV.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 dikesan dalam kalangan penjual ikan di 10 pasar lain

Gerai menjual ikan dan makanan laut di pasar Kovan ditutup pada 18 Jul. (Gambar: Wong Pei Ting/TODAY)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 01:46AM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 01:48AM

SINGAPORE: Sebanyak 163 kes jangkitan baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Isnin (19 Jul). Ini termasuk 116 kes yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan 20 kes yang terkait kelompok KTV.

Daripada jumlah itu, 146 kes berhubung kait dengan kes-kes lalu, dengan 44 kes sudahpun dikuarantin manakala 102 kes dikesan melalui ujian pengawasan.

Lagi 17 kes tidak berhubung kait dengan mana-mana kes lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) ketika memberikan kemas kininya pada awal Selasa pagi (20 Jul).

Antara kes baru itu, menurut MOH, terdapat satu individu berusia 70 tahun dan ke atas yang belum divaksinasi dan berisiko menghidapi penyakit serius.

Setakat sekitar jam 12.40 pagi Selasa, kelompok KTV kini terdiri daripada 193 kes manakala kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan Pasar & Pusat Makanan Hong Lim pula mencatatkan 179 kes jangkitan.

Selain itu, terdapat sembilan kes baru import yang sudahpun di berikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Empat daripadanya dikesan sejuruh tiba di Singapura manakala lagi lima jatuh sakit semasa menjalani SHN atau pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 172 kes baru COVID-19 pada Isnin.

Angka ini adalah jumlah tertinggi kes baru COVID-19 yang dicatatkan sejak 10 Ogos 2020 apabila 188 kes baru dikenal pasti.

MUNGKIN MASIH BERLAKU PENULARAN DI 2 LAGI KTV

MOH menyatakan ia sedang menyiasat kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan para pelayan sosial yang sering mengunjungi pusat atau kelab KTV, yang buat masa ini beroperasi sebagai cawangan makanan dan minuman (F&B), serta kontak sosial rapat mereka.

Siasatan epidemiologi mendapati kemungkinan terdapat penularan berterusan di KTV Dynasty Classic (1 Sophia Road) dan True Love (211 Geylang Road).

Semua pengunjung ke premis terjejas dinasihati memantau kesihatan mereka dengan teliti dan mengurangkan interaksi sosial seberapa boleh, menurut MOH.

KIT UJIAN ART BAGI PENGUNJUNG DI PASAR, PUSAT MAKANAN TERPILIH

Sebagai sebahagian daripada siasatannya ke atas kes jangkitan COVID-19 melibatkan pasar dan pusat makanan, MOH sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengagihkan kit uji sendiri bagi ujian pantas antigen (ART) kepada individu yang mengunjungi pasar serta pusat makanan terpilih sepanjang tempoh 14 hari lalu. Ini seperti para penduduk yang tinggal dalam kawasan pusat-pusat tersebut.

Pengambilan akan bermula dari 20 hingga 21 Julai di Pusat Jawatankuasa Penduduk di tempat-tempat berikut:

- Pasar dan Pusat Makanan Dimasak Cheng San (527 Ang Mo Kio Ave 10)

- Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon (453A Ang Mo Kio Ave 10)

- Pasar dan Pusat Makanan Geylang Serai (1 Geylang Serai)

- Pasar dan Pusat Makanan Haig Road (14 Haig Rd)

Mereka yang layak menerima kit ujian itu "amat digalakkan" untuk mengambilnya dan melakukan ujian sendiri. Para individu itu boleh memeriksa secara online bagi Pusat Jawatankuasan Penduduk berhampiran mereka untuk mengambil sendiri kit tersebut.

MOH menyatakan kes jangkitan COVID-19 "kemungkinan menular" disebabkan oleh para penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan mereka dan menjualnya di pasar dan pusat makanan.

Kini terdapat kelompok-kelompok yang dikesan di Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim serta Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon.

MOH juga mengesan kes-kes dalam kalangan penjual ikan yang bekerja di Pasar dan Pusat Makanan Albert Centre, Pasar dan Pusat Makanan Ang Mo Kio Central, Pasar dan Pusat Makanan 630 Bedok Reservoir Road, Pasar 497 Jurong West Street 41, Pasar 505 Jurong West Street 52, Pasar dan Pusat Makanan Kim Keat Palm, Pasar Basah dan Pusat Makanan Mayflower, Pasar dan Pusat Makanan Teck Ghee, Pasar 146 Teck Whye Avenue serta Pusat Tekka.

(Gambar: MOH)

Dalam satu kemas kini berasingan, MOH menyatakan ia sudahpun selesai menjalankan ujian COVID-19 ke atas para penduduk, pengunjung dan orang ramai yang berinteraksi dengan penduduk di 639 Rowell Road pada Ahad. Kesemua 456 individu itu diuji negatif.

Setakat Isnin, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 63,245 kes COVID-19.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan