Images
  • zamani aduh

Zamani terharu single Aduh cecah 1.1 juta tontonan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani Slam mengakui terharu dengan sambutan masyarakat terhadap single terbarunya, Aduh yang berjaya mencatat 1.1 juta tontonan sejak dimuat naik ke YouTube pada 1 Mac lalu.

Zamani, 48, berkata, beliau tidak menyangka lagu ciptaan sepenuhnya komposer Faizal Tahir itu mendapat sambutan sebegitu rupa, lapor Harian Metro.

"Ini semua hasil sokongan peminat saya daripada Kelab Peminat Zamani dan peminat generasi lama yang masih memberikan sokongan.

"Begitu juga rakan terdekat serta rakan artis yang turut memberikan sokongan tak berbelah bahagi terhadap saya," katanya.

Menurut Zamani, lagu Gerimis Mengundang nyanyiannya pernah mencatat jumlah tontonan yang banyak, namun kali ini agak berbeza selepas beliau menyertai pertandingan Gegar Vaganza 5.

"Lagu Gerimis Mengundang ambil masa yang agak panjang untuk dapat jumlah tontonan yang banyak tapi Aduh hanya ambil masa selama 13 hari.

"Lagipun ini baru video lirik dan bukannya video muzik. Saya baru menyiapkan video muzik dan selepas ini barulah dimuat naik ke YouTube," katanya kepada Harian Metro.

Bercakap mengenai single terbaru itu, Zamani berkata, pandangan yang dilemparkan terhadapnya berbeza-beza.

"Pandangan yang diterima pro dan kontra kerana ada yang suka dan ada yang tidak.

"Namun ada juga mengucapkan tahniah kerana saya tampil dengan sesuatu yang segar dan berbeza.

"Saya ambil lagu Faizal kerana dia memang berminat nak menghasilkan lagu untuk saya dan dah tentu tak menolaknya," katanya.

Harian Metro juga melaporkan bahawa Zamani mengakui berdepan cabaran menguruskan syarikat ZIME Production yang ditubuhkannya baru-baru ini.

"Saya baru belajar bertatih buat sendiri dan tak dinafikan ia agak sukar.

"Banyak perkara yang perlu difikirkan. Dulu semua orang buatkan untuk saya tapi sekarang kena buat sendiri.

"Segala kesilapan saya kena tanggung sendiri. Tanggungjawab pun semakin banyak," katanya.

- Agensi berita/SM/sm

Top