Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Zaleha Hamid uzur, tidak boleh telan makanan

Penyanyi veteran Zaleha Hamid, 65 tahun, kini uzur dan terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar pada pertengahan Disember lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Zaleha Hamid uzur, tidak boleh telan makanan

Penyanyi dangdut era 80-an, Zaleha Hamid. (Gambar-gambar: Zaleha Hamid)

Diterbitkan : 11 Feb 2020 10:24PM Dikemas Kini : 11 Feb 2020 10:31PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Zaleha Hamid, 65 tahun, kini uzur dan terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar pada pertengahan Disember lalu.

Wanita kelahiran Sungai Pinang, Pulau Pinang yang pernah mendapat jolokan Ratu Dangdut itu membuat kemunculan kali terakhirnya dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 22 Disember lalu.

BH Online melaporkan bahawa penyanyi lagu Dangdut Reggae itu kini semakin kurus. Malah, kaki dan tangan kanannya pula kejang dan tidak boleh bergerak.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55 tahun, memberitahu BH Online bahawa keadaan isterinya semakin uzur apabila tidak boleh menjamah makanan sejak diserang penyakit angin ahmar kira-kira dua bulan lalu, sebaliknya hanya diberikan susu melalui tiub.

Menurut Encik Sulaiman lagi, isterinya baru saja keluar hospital selepas lebih sebulan menerima rawatan dan terapi.

“Mama hanya diberikan minum susu melalui tiub. Buang air pun guna tiub.

“Saya pernah menyuapkan bubur, tetapi asyik tersedak-sedak. Air meleleh apabila diberikan minum menggunakan straw.

“Saya dinasihatkan doktor memberikan Mama susu rendah kalsium, tekaknya seperti tidak boleh menerima makanan,” katanya yang kini tinggal di Skudai, Johor Bahru.

BH Online melaporkan bahawa perubahan pada gerak tubuh dan pertuturannya dikesan oleh suaminya semasa penyanyi itu membuat kemunculan di program GV6.

Encik Sulaiman memberitahu BH Online: “Mama merungut, kakinya lenguh apabila berjalan laju. Saya suruh berjalan perlahan-lahan.

“Ketika sedang bersolek, saya lihat kepalanya asyik senget ke sebelah kanan, tetapi Alhamdulillah, tiada reaksi seperti nak terkena serang angin ahmar.

“Perubahan ketara apabila bergurau atas pentas bersama pengacara, Nabil Ahmad. Gerak tubuh dan pertuturan seperti ada lain sikit."

Menurut Encik Sulaiman, sejauh ini tiada wakil persatuan yang menziarahi isterinya dan beliau berharap persatuan dapat menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

“Ubatan, pampers dan susu memerlukan perbelanjaan tinggi, tetapi kami kurang berkemampuan. Sejujurnya, kami anak beranak hidup seadanya, pendapatan saya pula tidak seberapa,” katanya. 

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan