Images

Zaleha Hamid terima bantuan kewangan Institut Silang Kebudayaan Puan Noor Aishah

SINGAPURA: Penyanyi popular 1980-an, Zaleha Hamid, menerima bantuan kewangan daripada sebuah NGO Singapura semalam (20 Mac).

Lebih tepat lagi, sumbangan dihulurkan oleh Institut Silang Kebudayaan Puan Noor Aishah (PNAICI). Ditubuhkan secara rasmi kurang setahun lalu, PNAICI merupakan sebuah pertubuhan yang bermatlamat untuk memangkin usaha-usaha silang budaya di Singapura.

Menurut seorang kenalan rapat, penyanyi veteran bersuara lunak merdu itu sedang beransur pulih daripada serangan angin ahmar. Beliau juga sudah dapat bertutur dan mengecam wajah ramai kenalannya.


Sungguhpun demikian, Zaleha Hamid masih dalam keadaan memerlukan di Johor Bahru.

"Dia menggunakan lampin dan dia perlukan susu untuk diminum. Sekarang suami dia juga tidak bekerja. Jadi dia memang memerlukan bantuan kewangan," kata Cik Noraini Ayob.

Sumbangan berjumlah S$1,000 disampaikan kepada Cik Noraini selaku wakil Zaleha Hamid di Singapura oleh Presiden PNAICI, Wan Hussin Zoohri.


PNAICI mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk terus membantu artis-artis memerlukan yang sudah banyak menyumbang kepada industri berbilang budaya Singapura.

Sumbangan buat Zaleha Hamid adalah daripada dana PNAICI sendiri.


"Kita memilih Zaleha Hamid sebab kita tahu beliau dalam keadaan kurang sihat. Objektif kami memang adalah membantu para artis veteran, sama ada yang Melayu atau bukan Melayu," kata Wan Hussin.

Zaleha Hamid merupakan penerima kedua bantuan PNAICI. Sebelum ini, pelawak veteran Singapura, Allahyarham Zainal Ihim, juga menerima sokongan kewangan daripada badan bukan pemerintah itu.


"Pada waktu itu memang kita ingin membantunya tetapi apabila kami mendapat berita yang beliau meninggal dunia, kami terus mengadakan majlis dan mengundang dua adik beradiknya untuk menerima bantuan kewangan ini," kongsi Wan Hussin.  

- BERITAmediacorp/aq

Top