Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Yusof Haslam yakin Munafik 2 akan dapat sambutan baik

Penerbit filem Malaysia, Yusof Haslam, enggan menetapkan sasaran pungutan bagi filem terbaru keluaran Skop Productions, Munafik 2.

Anggaran Waktu Membaca:
Yusof Haslam yakin Munafik 2 akan dapat sambutan baik

Filem Munafik 2 keluaran Skop Productions. (Gambar: Munafik 2 Official/Facebook)

Diterbitkan : 26 Aug 2018 09:40PM Dikemas Kini : 26 Aug 2018 09:45PM

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Malaysia, Yusof Haslam, enggan menetapkan sasaran pungutan bagi filem terbaru keluaran Skop Productions, Munafik 2.

Encik Yusof berkata, beliau percaya pada kekuatan naskhah garapan anaknya, Syamsul, selain jenama filem yang turut mempunyai pengikutnya sendiri.

“Sejak dulu, kalau boleh saya enggan meletakkan sebarang sasaran dari segi pungutan bagi filem terbitan kami. Ia sesuatu yang di luar jangkaan kita.

“Begitupun, sudah tentu saya berharap Munafik 2 akan mendapat sambutan ramai. Jika ia mampu memungut kembali modal yang dikeluarkan, pencapaian itu dikira sudah menggembirakan. Jadi, bolehlah kami terus menghasilkan filem seterusnya,” katanya kepada agensi berita BH Online.

Munafik 2, yang menelan belanja RM2.8 juta (S$930,000) untuk dihasilkan, akan menemui penonton pada 30 Ogos ini.

Ia menampilkan pelakon seperti Maya Karin, Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan, Rahim Razali, Mawi dan Syamsul sendiri.

Sementara itu, BH Online menukil Encik Yusof, yang juga seorang pengarah, sebagai berkata bahawa beliau tidak berasa tergugat dengan pencapaian hebat filem Hantu Kak Limah apabila ia mencatatkan pungutan lebih RM27 juta (S$9.01 juta) dalam masa 15 hari tayangannya.

“Saya sebaliknya amat berbangga dengan sambutan begitu baik diberikan oleh penonton terhadap filem tempatan.

“Saya lihat, karya arahan Mamat Khalid benar-benar memenuhi cita rasa penonton. Namun, Hantu Kak Limah tidak boleh dibandingkan dengan Munafik 2 kerana genre kedua-duanya berbeza,” kata beliau.

Menurut laporan BH Online, Encik Yusof turut berharap pencapaian filem berkenaan akan memberikan semangat kepada penerbit dan pengarah lain untuk menghasilkan karya lebih baik. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan