Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Yusof Haslam didakwa langgar hak cipta novel bagi filem 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam'

Penerbit filem Yusof Haslam, dan dua yang lain mendapat kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta novel berjudul "Aku Bohsia".

Anggaran Waktu Membaca:
Yusof Haslam didakwa langgar hak cipta novel bagi filem 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam'

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Jul 2018 12:08PM Dikemas Kini : 25 Jul 2018 12:15PM

PUTRAJAYA: Penerbit filem Yusof Haslam, dan dua yang lain mendapat kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta novel berjudul "Aku Bohsia".

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, membenarkan rayuan dikemukakan Yusof, anaknya, pelakon-pengarah, Syamsul dan syarikat mereka, Skop Production Sdn Bhd.

Beliau menerima dua persoalan undang-undang berkaitan dakwaan pelanggaran hak cipta yang dikemukakan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, sebagai mewakili pemohon untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan pada pendengaran rayuan.

Panel itu turut dianggotai hakim Mahkamah Tinggi Zainun Ali dan Tan Sri Aziah Ali.

Pada 21 Mac tahun lalu, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan membenarkan saman hak cipta novelis Elias Idris terhadap pemohon (Yusof, Syamsul and Skop Production).

DAKWAAN PENULIS FITNAH DIKETEPIKAN

Pengarang berkenaan (Elias), yang menggunakan nama pena Anne Natasha Nita, mendakwa terdapat banyak persamaan antara novel beliau, "Aku Bohsia" dengan filem terbitan pemohon, 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam', dari segi plot, watak dan mesej.

Mahkamah Rayuan memberi kepada Elias perintah untuk mengisytiharkan bahawa pemohon melanggar hak cipta novel karangannya dan satu perintah lagi agar mereka membayar kepadanya ganti rugi, yang jumlahnya akan ditentukan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga memberi satu perintah injunksi kepada Elias bagi menghalang pemohon dan ejen mereka daripada terus menerbitkan, menyiarkan dan menerbitkan semula filem berkenaan, tanpa kebenaran Elias secara bertulis.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan juga memerintahkan pemohon menyerahkan semua naskhah dan barang yang dilanggar hak ciptanya kepada Elias atau namaannya (nominee).

Mahkamah Rayuan, membenarkan rayuan Elias dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak samannya terhadap pemohon.

Mahkamah itu juga mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar Elias membayar ganti rugi RM100,000 (S$33,500) kepada pemohon dalam tuntutan balas mereka terhadap beliau kerana dakwaan memfitnah.

YUSOF HASLAM, ANAK NAFI PERNAH DENGAR NOVEL ELIAS

Elias, 65, memfailkan saman terhadap Yusof, 63, nama sebenar beliau Md Yusof Md Aslam, Syamsul, 33, dan Skop Production, pada 24 Nov 2014.

Yusof, Syamsul dan Skop Production memfailkan saman balas terhadap Elias berkaitan dua artikelnya yang didakwa bersifat memfitnah yang tersiar secara dalam talian pada 7 Nov dan 16 Nov 2014.

Dalam kenyataan bela diri mereka difailkan pada 5 Jan 2015, Yusof, yang terkenal kerana drama terbitannya, Gerak Khas, Syamsul, dan Skop Production, berkata mereka tidak pernah membaca atau malah mendengar nama novel itu serta menafikan menjadikannya sebagai asas bagi filem terbitan mereka.

Skop Production Sdn Bhd menerbitkan filem itu pada 2009.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan