Images

Yohannis Kasmani cipta sejarah - peserta Melayu pertama menang 'vokal terbaik' dalam pertandingan gubahan lagu Mandarin

SINGAPURA: Tanpa diduga Yohannis Kasmani, 29 tahun, video nyanyiannya yang dimuat naik ke TikTok membawa tuah buat dirinya.

Menerusi video tersebut, bakatnya dikenal pasti oleh pencipta lagu Mandarin, Ti Kiang Heng yang berhasrat menyertai pertandingan menggubah lagu 'SG:SW I Write The Songs 2021' (SG:SW 2021).

Menerusi taruhan lagu berjudul 'Love Deserter', lagu ciptaan Ti dan dendangan Yohannis itu berjaya meraih dua anugerah dalam peringkat akhir pertandingan tersebut.

Selain Anugerah Xchange, Yohannis juga mencipta sejarah menjadi penyanyi Melayu pertama merangkul Anugerah Persembahan Vokal Terbaik dalam edisi kelima pertandingan itu.

Dia membawa pulang sebuah trofi, wang tunai bernilai S$1,000, serta peluang merakamkan video muzik.

(Gambar: Facebook/SCCC)

Pertandingan yang dianjurkan oleh COMPASS, Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC) dan syarikat rakaman, Ocean Butterflies Music bertujuan untuk menyediakan platform untuk menggilap dan memupuk bakat muzik tempatan bagi generasi pelapis.

BERNYANYI SEJAK USIA LIMA TAHUN LAGI

Minat Yohannis dalam bidang nyanyian bermula sejak dia berusia lima tahun lagi. Namun dia mula bernyanyi secara profesional pada usia 16 tahun bersama kumpulan-kumpulan 'acapella'.

Sejak kecil lagi, anak bongsu tiga beradik itu lebih cenderung kepada lagu-lagu Mandarin kerana lebih selesa dengan lenggok nyanyiannya berbanding lagu-lagu Melayu.

Beliau juga meminati penyanyi barat seperti Jessie J dan juga lagu-lagu dari penyanyi asal Singapura, JJ Lin dan kumpulan Mayday.

(Gambar: Yohannis Kasmani)

Selain menyanyi, Yohannis juga berjinak-jinak dalam bidang penulisan lirik malah dalam pertandingan itu, dia juga menyumbang bait-bait lirik dalam bahasa Melayu yang disulamkan dalam lagu Mandarin itu.

Meskipun hampir 90 peratus lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Mandarin, menterjemahkannya merupakan antara cabaran bagi Yohannis kerana harus memastikan makna asal lagu tersebut tidak berubah.

"Untuk perkataan Mandarin, ia memerlukan suku kata yang singkat. Jadi untuk saya menterjemahkan maksudnya yang sebenarnya kepada Melayu adalah sangat sukar.

"Itu sebab jika anda mendengar lagunya atau membaca lirik, ia pelik sedikit. Ia kurang sesuatu apabila anda membaca lirik Melayunya tapi itulah yang terbaik kita boleh lakukan untuk memendekkan perkataan," ujar Yohannis.

(Gambar: Yohannis Kasmani)

Sentuhan bijak menerapkan lirik bahasa Melayu ke dalam lagu tersebut serta menyertakan alunan alat muzik tradisional India juga mendapat perhatian pengadil sehingga berhasil memenangi Anugerah XChange SCCC.

Kolaborasi silang budaya itu turut menyuntik kesegaran dan menghasilkan karya yang cukup menarik. Malah menurut para pengadil, lirik Melayu yang diterapkan menambahkan lagi mutu lagu tersebut.

Lagu balada sekitar tiga minit itu berkisahkan tentang kekecewaan bercinta bersama orang yang mempunyai masalah komitmen lalu akhirnya memilih untuk berpisah.

"Dia (Ti) menulis terjemahan lirik untuk saya dalam bahasa Inggeris. Jadi saya mempelajarinya sebelum menyanyi jadi itu membantu saya sebab dia menyediakan maknanya. Dan jika saya mempunyai pertanyaan tentang lalu itu, dia sedia membimbing saya bersama-sama emosi yang diperlukan untuk membawa lagu tersebut," kata Yohannis yang mengambil sekitar dua bulan untuk menghafal lagu tersebut.

SUARA SERASI DENGAN LAGU DAN EMOSI 'CUKUP'

Pada malam Konsert Akhir pada Jumaat (29 Okt), Yohannis mempersembahkan lagu tersebut secara langsung di auditorium SCCC dengan disaksikan tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Cik Sim Ann.

Meskipun menyanyi lirik dalam bahasa Mandarin itu menerusi hafalan, Yohannis berjaya menjiwai lagu tersebut dan berjaya memikat hati para juri sehingga dinobatkan dengan Anugerah Persembahan Vokal Terbaik sekaligus menjadikannya finalis Melayu pertama memenangi anugerah itu.

Yohannis membawa pulang sebuah trofi, wang tunai bernilai S$1,000 serta peluang rakaman muzik video.

Muzik video untuk lagu tersebut dijangka akan diterbitkan sebelum akhir tahun ini.

Dia juga percaya keserasiannya dengan lagu gubahan Ti itu banyak membantunya dalam menyampaikan lagu itu dengan berkesan dan berjaya menambat hati para juri.

"Lagu yang ditulis Ti sesuai dengan suara saya. Jadi bila pengadil mendengarnya, mereka akan berfikir 'Oh, suara saya menambah markah kepada susunan lagunya. Dan apabila mereka mendengar, mereka akan terasa emosinya," jelas Yohannis.

Kemenangan dalam pertandingan lagu-lagu Mandarin itu juga lebih manis buat dirinya, sebagai seorang individu berbangsa Melayu.

"Saya pernah menyertai pertandingan muzik Cina sebelum ini dan merasakan ia adalah amat sukar untuk menang. Misalnya, sebagai seorang yang bukan berbangsa Cina, pengadil akan katakan anda tidak mempunyai emosi untuk membawakan lagu itu dengan baiknya kerana anda tidak memahami bahasa itu," tambahnya yang pernah menyertai sebuah pertandingan duet di Saluran 8 sekitar sedekad lalu.

(Gambar: Yohannis Kasmani)

Lagu Ti dan Yohannis itu merupakan antara sepuluh lagu terbaik yang terpilih untuk ke konsert akhir pertandingan 'SG:SW 2021', daripada 306 penyertaan yang diterima untuk pertandingan tahun ini. 

- BERITAmediacorp/sy

Top