Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Yazit pemain dram rock and roll terhebat, kata Hillary Ang

Sedang para peminat terkesan atas khabar pemergian Allahyarham Yazit Ahmad, jelas antara yang paling terkesan adalah rakan seperjuangan Hillary Ang, pemain gitar tersohor yang mengasaskan kugiran Search pada 1981.

Anggaran Waktu Membaca:
Yazit pemain dram rock and roll terhebat, kata Hillary Ang

Gambar lama Allahyarham Yazit Ahmad (paling kiri) dengan Hillary Ang (paling kanan) (Gambar: Facebook/Hillary Ang Project)

Diterbitkan : 30 Sep 2019 08:19AM Dikemas Kini : 30 Sep 2019 08:30AM

MALAYSIA: Persada muzik rock serantau dikejutkan baru-baru ini dengan pemergian bekas pemain dram dan anggota asal Search, Allahyarham Yazit Ahmad.

Sedang para peminat terkesan atas khabar pemergian pemuzik yang boleh dikatakan ikonik itu, jelas antara yang paling terkesan adalah rakan seperjuangan Hillary Ang, pemain gitar tersohor yang mengasaskan kugiran Search pada 1981.

Dalam catatan di laman Facebook 'Hillary Ang Project' pada Ahad (29 Sep), Hillary memberi penghormatan dan mengimbas kembali kenangan bersama Allahyarham, yang disifatkan beliau sebagai seorang "kawan lama".

"TIADA KATA MENGGAMBARKAN KEPILUAN"

"Saya baru saja kehilangan kawan lama dan kami menjadi rakan sekumpulan juga buat masa yang lama. Jadi tidak ada perkataan untuk menggambarkan kesedihan dan kepiluan," kata Hillary.

Mengimbas kembali bibit-bibit permulaan penubuhan kugiran Search, Hillary berkongsi beliau tidak pernah sangsi akan kehebatan Allahyarham Yazit sejak pertama kali melihatnya bermain dram.

"Ketika saya mula-mula melihat Yazit bermain, saya tahu dia adalah drummer yang saya inginkan dalam Search. Tidak pernah ada ragu-ragu."

"Kami melalui jerih payah bersama-sama. Ada banyak kenangan manis dan pahit. Masa yang baik dan masa yang buruk. Pasang surut diharungi bersama."

"YAZIT JADI ILHAM GENERASI BARU PEMAIN DRAM"

Menulis lanjut, Hillary memuji keistimewaan Yazit yang terserlah meskipun apabila keadaan kesihatannya mula merosot, dan mengiktiraf kesan Allahyarham ke atas perkembangan muzik tanah air.

"Yazit antara pemain dram paling hebat yang pernah bermain dengan saya, dan beliau mempunyai sentuhan unik dan nada permainan yang tiada tolok bandingnya.

"Meskipun pada lewat usianya apabila kesihatannya mula merosot, sentuhan istimewa itu tidak lekang pada dirinya. Yazit kekal sebagai pemain istimewa yang terus memperjuangkan minatnya, iaitu bermain dram," kenang Hillary lagi.

"Yazit menjadi sumber inspirasi kepada pemain dram pelbagai generasi, yang muda dan yang tua, dan itulah legasi yang ditinggalkannya," tambah Hillary.

"Saya akan merindui Yazit, pemain dram rock and roll terhebat yang pernah kami miliki."

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan