Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Yanto Sani juara Projek Lagu, bawa pulang S$20,000

Yanto Sani muncul sebagai juara Projek Lagu pada Selasa malam (9 Nov) sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai S$20,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Yanto Sani juara Projek Lagu, bawa pulang S$20,000

Pemenang Projek Lagu, Yanto Sani. (Gambar: Mediacorp Suria)

SINGAPURA: Yanto Sani muncul sebagai juara Projek Lagu pada Selasa malam (9 Nov) sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai S$20,000.

Ini selepas berentap dalam pertandingan sengit mencipta lagu itu selama 10 minggu dan menewaskan hampir 200 penyertaan lain sejak awal tahun ini.

Keaslian, nilai daya kreatif yang menyerlah, dengan alunan muzik dan lirik yang memukau serta potensi komersil yang tinggi pada mahakarya berjudul Bebas - yang dipersembahkan oleh Hasif Jasman, Aminurrashid Othman dan Yanto Sani - serta Menutup Dosa - yang dipersembahkan oleh Mang, KP Blavk dan Yanto Sani - berjaya menawan para juri.

Yanto yang merupakan satu-satunya peserta solo bercita-cita untuk berkolaborasi dengan artis-artis mapan di rantau ini seperti Noh Hujan dari Malaysia dan juga Daly Filsuf.

Ahli perniagaan berusia 38 tahun itu juga merancang untuk menerbitkan lagu-lagunya dari Projek Lagu, tidak lama lagi.

Tempat kedua diduduki oleh Zul dan Ariff dengan hadiah S$5,000, tempat ketiga oleh Aisha Ayesha dan Andy Gan dengan hadiah S$3,000 manakala Wawan Husen dan Fairuz di tempat keempat membawa pulang S$2,000.

Zul dan Ariff juga menerima hadiah bonus S$3,000 kerana mendapat undian paling tinggi daripada para penonton.

Para juri yang terdiri daripada juri tetap Ramli Sarip, Mayuni Omar dan Daly Filsuf serta juri undangan Dr Azmeer and Habsah Hassan membentuk 70 peratus manakala undian penonton pula lagi 30 peratus dalam menentukan markah para panelis.

Dr Azmeer and Habsah Hassan adalah penulis lagu yang masyhur, yang dilahirkan di Singapura dan berpangkalan di Malaysia.

Projek Lagu yang bertujuan meraikan muzik dan mengasah bakat tempatan memberi peluang kepada para peserta melakar sendiri perjalanan kreatif mereka bermula daripada proses mengilhamkan lagu hingga membuat persembahan di pentas besar.

Orang ramai boleh menonton semula perjalanan para peserta pertandingan yang buat julung-julung kalinya dianjurkan itu di meWATCH, meLISTEN dan IGTV Suria serta Mediacorp Entertainment di YouTube.

Maklumat lanjut juga boleh diperolehi di laman rasmi Projek Lagu Mediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan