Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Wawa Zainal kecewa ada pihak tiru produk kosmetik jenama miliknya

Kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mengedarkan produk kosmetik tiruan jenama miliknya, pelakon Malaysia, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafrel pada Rabu (18 Nov) menyertai serbuan yang dilancarkan ke atas sebuah premis di Taman Putra Utama di Kangar.

Anggaran Waktu Membaca:
Wawa Zainal kecewa ada pihak tiru produk kosmetik jenama miliknya

Pelakon dan usahawan kosmetik dari M'sia, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafrel. (Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 19 Nov 2020 10:47PM Dikemas Kini : 19 Nov 2020 10:50PM

KANGAR: Kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mengedarkan produk kosmetik tiruan jenama miliknya, pelakon Malaysia, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafrel pada Rabu (18 Nov) menyertai serbuan yang dilancarkan ke atas sebuah premis di Taman Putra Utama di Kangar.

Pasangan selebriti itu bersama sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis memasuki premis berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari.

Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar berkata dalam serbuan berkenaan, pihaknya merampas lebih 5,542 unit peralatan kosmetik dianggarkan bernilai RM210,596 (S$69,106).

Beliau berkata, pihaknya turut menahan 16 individu berusia antara 20 hingga 31 tahun termasuk seorang lelaki yang juga pemilik perniagaan berkenaan untuk membantu siasatan.

Menurut Cik Norazah, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pasangan selebriti terbabit mengenai pengeluaran produk kosmetik menggunakan logo dan jenama yang boleh mengelirukan pengguna dan peminat mereka.

"Hasil siasatan mendapati premis terbabit telah beroperasi lebih daripada tiga tahun dan turut menjalankan perniagaan menggunakan sistem ejen selain dijual di dalam talian.

"KPDNHEP juga telah melihat iklan mengelirukan yang telah dikeluarkan oleh syarikat milik ahli perniagaan terbabit.

"Tindakan itu boleh memanipulasi persepsi pengguna kerana telah menggunakan logo pemilik asal," katanya dalam sidang media yang turut disertai Wawa dan Aeril.

Cik Norazah berkata, syarikat terbabit dipercayai memiliki sebuah gudang di Kedah dan menjadikan premis di Taman Putra Utama sebagai pusat pengedaran.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin mendakwa, mereka kecewa kerana syarikat terbabit menggunakan cap dagangan tidak berdaftar yang seakan-akan menyamai cap dagangan berdaftar miliknya. "Apa yang dikesalkan adalah ia seolah-olah mengelirukan pengguna.

"Cap dagangan ini bukan senang untuk didaftarkan malah ia memakan masa hampir dua tahun untuk diluluskan oleh pihak KPDNHEP selepas melalui prosedur tertentu.

"Justeru sekiranya pihak terbabit berterusan menggunakan cap dagangan ini, ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab," dakwanya.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan