Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Watak Upin Ipin diangkat sebagai duta harmoni

Watak animasi Upin dan Ipin diangkat sebagai duta mahabbah yang jelas memaparkan perasaan kasih sayang dan keharmonian rakyat Malaysia, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Anggaran Waktu Membaca:
Watak Upin Ipin diangkat sebagai duta harmoni

Filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal ditayangkan di Indonesia, Brunei dan S'pura. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Mar 2019 11:57AM Dikemas Kini : 06 Mar 2019 12:03PM

KUALA LUMPUR: Watak animasi Upin dan Ipin diangkat sebagai duta mahabbah yang jelas memaparkan perasaan kasih sayang dan keharmonian rakyat Malaysia, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Dr Maszlee berkata elemen saling menghormati, sayang-menyayangi dalam kalangan pelbagai kaum di negara itu wujud dalam karakter Upin dan Ipin, sekaligus memainkan peranan mempromosikan budaya majmuk rakyat Malaysia.

"Watak Upin dan Ipin ini menggambarkan masyarakat majmuk yang saling menghormati dan ini yang kita mahu bawa dalam kehidupan rakyat.

"Animasi ini juga berperanan dalam mempromosikan keharmonian, kemajmukan dan mahabbah (cinta dan kasih sayang) yang wujud dalam masyarakat di negara ini," katanya kepada para wartawan selepas merasmikan gala filem animasi 3D bertajuk Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal (UIKST) di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, animasi Upin dan Ipin terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd akan dibawa ke pasaran antarabangsa seperti United Kingdom dan Jepun bagi memperkenalkan karya anak tempatan sekaligus memartabatkan bahasa Melayu.

Dr Maszlee berkata satu perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi merealisasikan perkara tersebut.

"Kita sering melihat animasi dari Jepun dan Hollywood masuk ke negara ini dengan lagu mereka menjadi ikutan anak-anak, jadi kita mahu tunjukkan Upin dan Ipin ke dunia luar bagi memperkenalkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata filem animasi 3D UIKST yang bakal disiarkan di pawagam bermula 21 Mac itu menelan belanja hampir RM20 juta (S$6.65 juta).

Menurutnya, filem tersebut bersedia memasuki pasaran luar seperti Taiwan selain Indonesia dengan mutu alih bahasa yang dilakukan di luar negara supaya animasi tempatan dikenali di peringkat antarabangsa serta setanding karya-karya besar di luar negara.

UIKST berkisar tentang pengembaraan Upin dan Ipin ke sebuah kerajaan Inderaloka selepas menemui sebilah keris Melayu dalam bilik stor milik Tok Dalang bernama Keris Siamang Tunggal.

Pengembaraan itu membawa kembar comel dan nakal itu bertemu pelbagai watak dongeng popular tempatan antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Pak Belalang.

Filem itu juga bakal ditayangkan di Indonesia, Brunei dan Singapura. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan