Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Warga emas jadi hero filem aksi terbesar dalam Terminator: Dark Fate

Usia adalah sekadar angka. Itulah yang dibuktikan oleh para pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger, 72 tahun, dan Linda Hamilton, 63 tahun. Setelah 28 tahun berlakon sama dalam filem Terminator, mereka bergabung sekali lagi bagi filem Terminator: Dark Fate.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas jadi hero filem aksi terbesar dalam Terminator: Dark Fate

Arnold Schwarzenegger dan Linda Hamilton dalam babak filem Terminator: Dark Fate (Gambar: Walt Disney)

Diterbitkan : 26 Oct 2019 07:16PM Dikemas Kini : 26 Oct 2019 07:22PM

SINGAPURA: Usia adalah sekadar angka. Itulah yang dibuktikan oleh para pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger, 72 tahun, dan Linda Hamilton, 63 tahun. Setelah 28 tahun berlakon sama dalam filem Terminator, mereka bergabung sekali lagi bagi filem Terminator: Dark Fate.

Filem itu yang baru mula ditayangkan di Singapura pada Khamis (24 Okt) memang dinanti-nantikan para peminat tegar. Kembalinya Hamilton memegang watak Sarah Connor di samping Schwarzenegger sebagai Terminator T-800 disifatkan oleh para pengulas filem sebagai sebab ia merupakan filem Terminator terbaik sejak T2: Judgement Day pada 1991.

NAFAS BARU DALAM INDUSTRI YANG MEMANDANG PADA UMUR

Berkongsi dengan Mediacorp, Hamilton berkata: "Sebagai wanita yang mencecah usia tertentu, kita cuba menjadikan usia tua sesuatu yang ranggi. Atau seperti kata anda, 'tua' adalah 'emas' baru!"

Hamilton mendedahkan beliau mengambil masa enam minggu untuk membuat keputusan sama ada untuk kembali menjayakan watak ikoniknya itu setelah mantan suaminya James Cameron (sutradara bagi filem asal Terminator dan T2) menelefonnya dengan tawaran.

Cameron adalah penerbit dan penulis bersama bagi filem Dark Fate.

Gandingan pasangan pelakon dengan rangkuman usia 135 tahun sebagai watak utama filem pecah panggung Hollywood dilihat sebagai memberi nafas segar kepada industri yang dilihat ramai sebagai memihak kepada bakat-bakat lebih muda.

WANITA SEBAGAI 'HERO' LASAK

Schwarzenegger memberitahu Mediacorp bahawa kejayaan ini adalah kerana Hamilton "menjadi piawai untuk bukan sahaja wanita, tetapi apa yang wanita berusia 63 tahun, boleh lakukan di layar perak."

"Pada pendapat saya, seorang seperti Linda betul-betul menunjukkan contoh taraf yang sangat tinggi dalam Terminator 2 dan selepas itu, Hollywood menerima hakikat bahawa 'Ya, wanita juga boleh menjadi hero filem aksi!" tambah beliau.

Rahsia kejayaan pelakon seperjuangannya itu, tambah Schwarzenegger, adalah tahap persiapannya untuk memegang watak.

"Beliau berlatih setiap hari selama setahun. Dan beliau berusia 63 tahun! Saya rasa tiada wanita lain yang begitu tangkas dan lasak seperti Linda Hamilton!"

Hamilton turut mengaku meskipun beliau selalunya tidak menyimpan rasa sayang atau rapat terhadap hasil karyanya, beliau "rasa bertanggungjawab terhadap watak Sarah Connor" dalam Dark Fate.

"Saya tidak mahu muncul dan menghampakannya (Connor). Saya tidak terlalu ambil kisah tentang kejayaan filem itu, hanya sekadar mahukan ia menjadi filem yang baik dan saya rasa itu sudah kita kecapi. Namun terdapat tekanan tentang bagaimana saya dapat melakukan ini (jayakan watak Connor) secara meyakinkan dan dengan cara yang sama berkesan dengan dua filem pertama?"

Meskipun menghadapi tekanan, Hamilton mengaku berasa seronok melakukan apa yang beliau lakukan pada usia senja ini.

"SAYA TIDAK RASA BERUSIA 72"

Sementara itu Schwarzenegger turut mengaku tidak rasa seperti berusia 72 tahun.

"Saya tidak melihat diri saya seperti berusia demikian. Saya tidak memikirkannya apabila bersenam di waktu pagi. Saya tidak merasa berusia 72 tahun apabila pergi meluncur dan saya lebih-lebih lagi tidak berasa seperti 72 tahun semasa berlakon filem."

Bagi Arnie, beliau "berasa seolah-olah dalam lingkungan usia 50-an tahun".

"Saya berasa hebat, dan selagi ada peminat yang ingin menonton saya, saya akan terus berlakon filem." 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan