Images
  • farid kamil
    Pengarah dan pelakon Malaysia, Farid Kamil Zahari. (Gambar: Bernama)

Waran tangkap Farid Kamil dibatalkan, ikat jamin dinaikkan

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di Petaling Jaya semalam (14 Jan) membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap pengarah dan pelakon Malaysia Farid Kamil Zahari setelah gagal hadir perbicaraan kes dadah yang dihadapinya pada Jumaat (11 Jan).

Majistret Nor Ariffin Hisham turut memerintahkan wang jaminan terhadap Farid Kamil, 37, dinaikkan dari RM3,000 (S$990) kepada RM5,000 (S$1,650) selain memohon peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili tertuduh supaya mengemukakan alasan bagi membatalkan waran tersebut.

Sebelum ini, pihak pembelaan memohon mahkamah supaya membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas suami kepada pelakon Diana Danielle itu kerana kegagalannya hadir bagi perbicaraan hari keempat kes itu.

Encik Megat Syazlee berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir memandangkan beliau mempunyai urusan di Johor Bahru, Johor.

"Bagaimanapun, setelah diberitahu, beliau kemudiannya bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, namun keretanya rosak di Danga Bay, Johor Bahru, Johor pada pukul 4.00 pagi.

"Keretanya sudahpun ditunda ke sebuah bengkel di Tampoi, Johor dan beliau kemudiannya dapat dihubungi kira-kira pukul 11.00 pagi memandangkan bateri telefonnya sudah habis," katanya, yang turut mengemukakan resit pembayaran tunda kereta dan gambar kereta Farid Kamil yang rosak kepada mahkamah.

Pelakon Lagenda Budak Setan itu kemudiannya memohon maaf dan memberitahu dia tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah dan sentiasa memberikan komitmen penuh semasa perbicaraan sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memberitahu, tarikh perbicaraan pada 11 Januari itu sememangnya sudah diberitahu sebulan lebih awal dan bukannya secara tiba-tiba seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Pihak pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tarik balik waran tangkap yang dikeluarkan pihak pembelaan kerana tertuduh hadir pada hari ini," katanya.

Pada 25 Januari 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kerana menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 (S$1,650) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

- BERNAMA/AI/ai

Top