Images
  • wan 3
    (Gambar: Instagram/Wann_Rashidah)

Wann 3 kali tolak lamaran Gegar Vaganza; teringin rakam lagu baru

BERITAmediacorp: Sampai ke hari ini, para peminat masih tertanya-tanya mengapa Wann belum lagi bertanding dalam rancangan realiti Gegar Vaganza.

Jika penyanyi lain muncul dengan suara lunak merdu, lain pula bagi Wann yang pada awal kerjayanya muncul dengan gaya seksi dan 'suara meneran' yang membawa kelainan kepada bidang seni suara era 1990-an.

Kelainan dan keunikan inilah yang menjadikan Wann antara artis yang sehingga ke hari ini dapat mempertahankan popularitinya.

SUDAH 3 KALI TOLAK LAMARAN ASTRO

Dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp, insan seni bernama Wan Rashidah Meor Abdul Rashid ini mendedahkan mengapa beliau menolak lamaran pihak Astro untuk menyertai rancangan popular Gegar Vaganza.

Wann memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau sebenarnya sudah menolak lamaran pihak Astro sebanyak tiga kali.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bossanova, Lamunan Hati, Aku Dalam Teka Teki, Terlerai Kasih dan Joget Siapa Dia itu berkata setiap kali dilamar, beliau akan menolaknya dengan baik.


Wann bersama suami (Gambar-gambar: Instagram/Wann_Rashidah)

Sungguhpun demikian, ia tidak sekali-kali bermakna bahawa beliau sudah menutup pintu kepada Gegar Vaganza (GV).

“Ia ada macam-macam genre lagu. Saya kena bersedia betul-betul kalau saya nak masuk GV. Ada hip-hop, ada etnik lah. Boleh ke Wann bawak semua genre lagu itu? Wann memang boleh menyanyi tapi sesuai ke dan boleh ke Wann bawak?”

PELBAGAI GENRE LAGU DINYANYIKAN DI S'PURA, M'SIA

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Wann sebenarnya sering menyanyikan pelbagai genre lagu termasuk lagu rock, keroncong dan dangdut bagi memenuhi undangan untuk membuat persembahan di Singapura dan seluruh Malaysia.

Jika begitu, adakah Wann kurang yakin dengan diri sendiri untuk membawakan lagu hip-hop misalnya bagi sebarang pertunjukan dan GV?

“Wann sesuai ke bawak lagu itu? Jadi Wann kena berhati-hatilah. Wann kurang konfidenlah," luahan jujur tanpa berselindung Wann kepada BERITAmediacorp.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu turut diasak bagi mendapatkan penjelasan mengenai keengganan beliau untuk memasuki pertandingan Gegar Vaganza pada tahun ini.

Adakah beliau merasakan bahawa genre hip-hop tidak sesuai dengan umur Wann yang mencecah 49 tahun pada tahun ini?

“Lebih kurang macam begitulah. Mana pula sesuai lagu hip-hop dengan umur kita? Wann rasa sendiri Wann, bukannya sesuai dengan lagu hip-hop. Lagipun, saya tak pernah cuba lagu hip-hop. Orang ingat penyanyi semua boleh buat tapi boleh ke betul-betul? Ingat senang nak nyanyi? Macam saya, jika saya nyanyi lagu dangdut, bukan dangdut asli. Saya tak boleh dangdut sehebat penyanyi-penyanyi dangdut,” jelas suri rumah yang menetap di Singapura setahun selepas mendirikan rumahtangga bersama Mohamed Thazah Hamzah pada 1993.

TIDAK CEMBURU SETAKAT ..........

Jika ada kesempatan, Wann tidak ketinggalan untuk menonton pertandingan Gegar Vaganza daripada kaca televisyen dan beliau tetap memberikan sokongan kepada rakan-rakan artis seperjuangannya yang mengambil bahagian dalam rancangan tersebut.

Tidakkah Wann berasa 'cemburu' melihat rakan-rakannya beraksi di pentas Gegar Vaganza, sedangkan beliau hanya setakat menyaksikan mereka dari kaca televisyen saja? Apakah tidak pernah terlintas untuk Wann cuba menyahut cabaran itu juga?


“Tidak ada. Cuma saya cemburu dari segi lagu, bukan cemburu kerana populariti mereka. Kalau ada kawan seangkatan saya yang buat single baru yang sedap, saya (cemburu) teringin nak buat (lagu). Wann gembira untuk mereka.”

WANN TERINGIN RAKAM LAGU BARU

Kali terakhir beliau muncul dengan single terbaru adalah sekitar tiga tahun lalu menerusi sebuah lagu duet bersama Sixth Sense iaitu Seribu Jelingan.

Namun, rezeki belum menyebelahi penyanyi yang pernah merakamkan lebih 10 album solo itu untuk menerbitkan sendiri lagu baru seperti yang dilakukan oleh segelintir artis mapan.

Untuk tujuan tersebut, seseorang artis harus melaburkan wang untuk mendapatkan khidmat komposer dan penulis lirik. Beliau juga harus membiayai kos rakaman dalam studio dan penerbitan lagu tersebut.

Kongsi Wann yang kini tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat rakaman: “Bukan tidak ada rancangan. Macam tidak ada rezeki saya. Pernah juga ada perbincangan dengan syarikat rakaman," luah ibu kepada dua orang anak itu.

CABARAN BAGI PENYANYI MAPAN SEPERTI WANN

Kesulitan yang dihadapi oleh para penyanyi seperti Wann juga disebabkan oleh kurangnya divisyen Melayu dalam sesebuah syarikat rakaman. Tidak seperti pada tahun 1990-an, terdapat banyak syarikat rakaman besar seperti BMG Music, EMI, Rock Record, Warner Music dan Sony Music yang menguasai pasaran Melayu di seluruh Malaysia.

Ketika itu, setiap syarikat rakaman mempunyai divisyen Melayu untuk menerbitkan album dan mempromosikan album-album Melayu dan para artis Indonesia.

“Sekarang pun syarikat rakaman dah tidak ada department Melayu khusus untuk artis-artis Melayu seperti dulu. Susah sikit sekarang. CD pun memang susah nak jual, semua buat lagu single sahaja,” luah Wann kepada BERITAmediacorp.

Meskipun bersedih dengan situasi sedemikian, beliau akur bahawa seseorang artis harus mengikuti peredaran masa untuk menerbitkan lagu mereka sendiri.

Apabila ditanya sama ada beliau tidak terfikir untuk berbuat demikian sekiranya beliau merindukan kemunculan sebuah lagu baru untuk dirinya. Ini jawapan Wann:

“Kadang-kadang bila difikir-fikirkan, tak mengapalah kita teruskan saja dengan lagu-lagu yang kita ada. Cuma kalau ada mana-mana pihak yang nak melamar terbitkan lagu, itu bonuslah. Tak mengharaplah. Lagu yang ada pun tak ternyanyikan.”


Kerinduan itu bagaimanapun terubat apabila Wann ditawarkan untuk menjayakan persembahan Makan Malam Live Bersama Wann anjuran Mareepoosa Creative & Event di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

Wann turut mengajak anak perempuannya yang berusia 22 tahun untuk berkongsi pentas bersamanya pada malam tersebut.

Setakat ini Wann belum lagi terfikir untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar di Singapura. 

“Wann dah puas dengan zaman Wann. Alhamdulillah sampai sekarang kira boleh bertahan lagi jugalah. Wann bersyukur. Wann teruskan sahaja,” katanya bagi menamatkan wawancara eksklusif ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top