Images

VTL S'pura-M'sia dijangka rancakkan industri seni, pergerakan artis antara kedua-dua negara

SINGAPURA: Penubuhan Laluan Perjalanan Orang Sudah Divaksin (VTL) Singapura-Malaysia dijangka merancakkan semula industri seni melibatkan artis antara kedua-dua negara.

Artis Singapura misalnya dapat menyambung kerjaya di seberang tambak dengan lebih mudah, sementara syarikat-syarikat penganjur acara lebih mudah mengundang artis-artis dari Malaysia.

Itulah juga yang disuarakan para pelakon Singapura yang aktif bergerak di Malaysia.

HISYAM HAMID: PENGGAMBARAN ESOK, HARI INI BOLEH BALIK

Bagi pelakon Hisyam Hamid, selepas berjauhan dari keluarga selama 13 bulan, beliau akhirnya pulang ke Singapura pada Julai tahun ini semasa Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Hisyam terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari di hotel Singapura ketika itu. Ia menelan belanja agak besar - antara S$2,000 hingga S$3,000.


(Gambar: Hisyam Hamid/Instagram)

Lantaran itu, VTL Singapura-Malaysia sesuatu yang "sangat membahagiakan" Hisyam kerana ini bermakna beliau akan dapat berulang-alik untuk bertemu keluarga di Singapura dan bekerja di Malaysia - tanpa kuarantin.

Di bawah skim VTL juga, seseorang yang layak tidak perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh atau 10 hari.

"Kalau nak mulakan penggambaran esok, hari ini boleh balik atau dua hari sebelum boleh balik, jadi tak payah risau tentang kuarantin.

"Artis-artis Malaysia pun biasa ke Singapura untuk projek-projek lakonan. Kalau setakat acara satu hari, tapi kuarantin 14 hari, jadi macam tak berbaloilah rasanya. Kita berharap dengan adanya VTL ini kita boleh meriahkan lagi suasana untuk industri," ujar Hisyam.


(Gambar: Hisyam Hamid/Instagram)

Hisyam bagaimanapun tetap akan "pejam mata" dan pulang ke Singapura beberapa hari sebelum VTL Singapura-Malaysia dibuka. Ini bagi meraikan keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) anak lelakinya yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Bermakna, Hisyam masih harus menjalani kuarantin tujuh hari di rumah.

"Hisyam nak ada di sana, walaupun tak dapat teman dia pergi sekolah, sekurang-kurangnya balik dia boleh tunjukkan keputusan kepada Hisyam," jelas beliau.

BERI PILIHAN ERWIN DAWSON PATAH BALIK KE M'SIA

Bagi pelakon Erwin Shah Dawson pula, yang juga aktif di Malaysia tetapi sudah berada di Singapura sejak November 2019 bagi menjayakan drama Azam & Johan, beliau sebenarnya menjadi mangsa keadaan.

Beliau terpaksa membatalkan hasrat meneruskan kerjaya di Malaysia apabila COVID-19 tiba-tiba melanda beberapa bulan selepas itu. Ini kerana Erwin bimbang pendapatannya mungkin tidak stabil di seberang sepanjang pandemik.


(Gambar: Erwin Dawson/Instagram)

Kini, VTL Singapura-Malaysia jelas memberinya nafas baru untuk menyambung semula kerja seni di seberang tambak.

"Rasanya bagus untuk mengetahui saya ada pilihan untuk patah balik bila-bila masa saya boleh patah balik.


(Gambar: Erwin Dawson/Instagram)

"Alhamdulillah saya masih menerima tawaran, jadi sayang kalau saya nak biarkan macam begitu saja. Baru bulan ini sahaja dah tolak 3 dah. Saya boleh baliklah hujung November ini kalau saya nak," kongsi Erwin.

BUKA PELUANG PENGANJUR ACARA UNDANG SEMULA ARTIS M'SIA

Yang jelas, VTL tersebut juga membuka peluang bagi syarikat-syarikat penganjur acara di Singapura seperti Z.H Creatives Management dapat mengundang semula artis-artis Malaysia ke negara ini. Contohnya bagi acara promosi atau beramah mesra.

Namun Z.H Creatives Management masih ada beberapa pertimbangan.


(Gambar: Z.H Creatives Management/Instagram)

"Kita lihat dalam tiga hingga empat bulan bila VTL dilancarkan. Kalau semua berjalan lancar, tak ada lagi sangkak di masa hadapan, kemungkinan besar kita akan bawa masuk artis Malaysia sebagai tempoh percubaan," kata Encik Halil Nasil, yang merupakan seorang penganjur acara syarikat tersebut.

Beliau juga percaya, apabila acara-acara dianjurkan semula nanti, ia masih akan berada di bawah norma baru:

"Dengan langkah-langkah jarak selamat, ia tidak akan jadi intim seperti dahulu.


(Gambar: Z.H Creatives Management/Instagram)

"Saya pasti apabila kita menganjur acara atau konsert, kita mahu ia menjadi tempat bebas di mana orang ramai boleh beramah mesra antara satu sama lain."

Kali terakhir Z.H Creatives Management mengundang artis Malaysia adalah pada pertengahan tahun 2019, iaitu pelakon Saharul Ridzwan.

Syarikat-syarikat lain seperti Mega Xpress pula memberitahu kami ia belum ada rancangan mengundang artis luar.

Namun demikian, meskipun rancangan serta kegiatan kebanyakan anak-anak seni masih belum jelas buat masa ini, VTL Singapura-Malaysia tetap memberi harapan bahawa industri hiburan dapat dirancakkan semula di kedua-dua negara berjiran rapat ini. 

- BERITAmediacorp/im

Top