Images
  • alif satar
    Alif Satar bergabung dengan Raihan bagi #Sesungguhnya2019. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

Versi lagu Sesungguhnya2019 pikat minat bukan Muslim

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid, Raihan memanjatkan rasa syukur apabila lagu Sesungguhnya2019 yang dirakam semula bersama penyanyi popular, Aliff Satar mendapat respons positif daripada peminat bukan Islam.

Menurut Che Amran Idris selaku ketua kumpulan, lagu itu sememangnya mempunyai elemen yang boleh menghiburkan semua pendengar termasuk orang bukan Islam.

“Lagu ini, ia ada elemen tersendiri yang buat mereka (orang bukan Islam) senang mendengarnya.

“Sesungguhnya2019 jika dilihat ada pembawakan rohani yang tidak terlalu mendalam, jadi masyarakat senang faham dengan mesej lagu itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menariknya, Sesungguhnya2019 bukan hanya disambut baik peminat beragama Islam, malah turut mencuri perhatian peminat bukan Muslim.


Petikan skrin komen-komen di YouTube video Alif Satar, Raihan - Sesungguhnya2019.

Antara peminat bukan Islam adalah Gracey Dina yang menulis: "Saya bukan Muslim. Tapi lagu ini menyentuh hati saya."

Kenny Leow pula berkata: "Saya suka lagu ini ... meskipun bukan Muslim. Raihan terbaik."

BUKAN PERKARA BARU

Namun begitu, kumpulan yang turut popular dengan lagu seperti Iman Mutiara itu menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa respons positif daripada peminat bukan Muslim bukan perkara baru bagi mereka.

“Situasi sebegini bukan benda baru untuk kami (Raihan) kerana lagu terdahulu juga mendapat respons baik dari golongan orang bukan Islam.

“Ada juga yang ambil lagu kami (Raihan) sebagai satu garis panduan untuk bersyahadah,” katanya.

TARIK MINAT GOLONGAN MUDA

Tambah Che Amran, usaha berkolaborasi bersama artis baru adalah satu cara yang dibawa Raihan bagi masyarakat kembali meminati lagu nasyid.

“Kami sendiri meminta untuk bergabung dengan artis baru seperti Aliff Satar kerana mereka (artis baru) ini ada peminat sendiri dari media sosial. Artis lama kurang pendedahan itu.

“Artis baru ini boleh bantu menarik minat orang muda dengar lagu nasyid dan jadikan lagu sebegitu kembali popular,” katanya kepada Malaysiakini.

Raihan kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim selepas seorang lagi anggota mereka, Azahari Ahmad meninggal dunia pada akhir September 2001.

Vokalis utama mereka, Nazrey Johani mengundur diri dari Raihan sejak tahun 2006.

Sesungguhnya merupakan salah satu lagu daripada album pertama Raihan, Pujian-Pujian yang diterbitkan pada tahun 1997.

Pada masa itu, kumpulan tersebut mencipta fenomena dalam industri nasyid apabila album mereka terjual melebihi 750,000 unit di pasaran.

Sejak dikongsi di YouTube pada 9 Mei lalu, lagu Sesungguhnya2019 sudah mencecah lebih 6 juta tontonan, malah pernah menduduki tempat pertama di carta laman tersebut.

- Agensi berita/SM/sm

Top