Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ustaz Ebit Lew terima anugerah sebagai Duta Muhibbah Palestin

Pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew menerima anugerah sebagai Duta Muhibbah oleh pemerintah Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Ebit Lew terima anugerah sebagai Duta Muhibbah Palestin

Ustaz Ebit Lew menerima anugerah Duta Muhibbah Palestin. (Gambar: Ebit Lew/Facebook)

Diterbitkan : 02 Jul 2021 07:41AM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 07:48AM

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew menerima anugerah sebagai Duta Muhibbah oleh pemerintah Palestin.

Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi satu catatan di laman Facebooknya pada Khamis malam (1 Jul), lapor Astro Awani.

Dalam catatan tersebut, Ustaz Ebit meluahkan rasa terharu dan syukur atas penghargaan berkenaan.

“Terharu sebak syukur rasa bila dianugerahkan sebagai Duta Muhibbah Palestin / Palestine Goodwill Ambassador.

“Saya cuma buat sedikit usaha berbanding ramai orang. Kami dijemput mesyuarat bersama Menteri dan Timbalan Menteri dari Kementerian Luar Palestin, Kementerian Pembangunan Palestin, Kementerian Kebudayaan dan Belia.

“Mereka menyambut dan melayan dengan sangat baik. Terharu rasa. Allahuakbar. Kita cuma orang kecil dan bukan sesiapa pun. Cuma niat nak menolong sahaja,” tulis beliau.

Menurut laporan Astro Awani lagi, Ustaz Ebit memaklumkan semasa pertemuannya dengan wakil pemerintah Palestin itu, mereka turut berbincang untuk mengadakan program-program di situ pada masa akan datang.

“Saya bersetuju bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk projek ‘Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice’.

“Demi maslahat anak muda remaja di sana. Identiti dan tanah mereka diambil. Berapa banyak telah terkorban. Ada berapa banyak keluarga sudah tiada keturunan mereka. Semuanya syahid.

“Berapa banyak bangunan diletupkan. Anak kecil terkorban. Jadi, ini bina satu tempat untuk mengingat jati diri mereka dan semua yang telah berkorban,” tambahnya.

Ustaz Ebit kini sedang dalam misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza pula bagi menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terjejas akibat serangan Israel.

Beliau yang berjaya memasuki Gaza pada Selasa (29 Jun) mengakui air matanya tidak dapat dibendung lagi usai mengaminkan doa sejurus bantuan disampaikan, lapor Astro Awani.

Menurut Ustaz Ebit, bantuan berupa barangan keperluan serta ubat-ubatan sebanyak dua treler dan beberapa buah lori dihantar terus ke hospital di Gaza untuk disalurkan kepada yang memerlukan.

Pasukan beliau juga adalah yang pertama di dunia yang dibenarkan masuk ke Gaza melalui pintu Rafah sejak peperangan 11 hari pada Mei lalu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan