Images
  • uai
    (Gambar: Agensi berita)

Ustaz Azhar Idrus jalani pembedahan sambung tulang lengan susuli kemalangan

KUALA TERENGGANU: Penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI dijangka menjalani pembedahan bagi menyambung tulang lengan pada bahagian atas sikunya yang patah akibat terjatuh daripada basikal ketika dalam perjalanan pulang pada petang Isnin (4 Nov).

Menurut Astro Awani, pembantu beliau, Wan Safari Wan Ahmad berkata pembedahan untuk memasang implan bagi memulihkan kembali struktur tulang yang patah dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kalau lihat pada jadual pembedahan dijangka pukul 2.00 petang ini, namun waktu tepat bagi prosedur itu bergantung kepada keadaan pesakit yang turut menjalani pelbagai rawatan di bilik pembedahan itu.

"Kita sama-sama berdoa agar dipermudahkan segala urusan beliau," katanya seperti ditukil Astro Awani.

Apabila ditanya mengenai keadaan hidung Ustaz Azhar Idrus yang dilaporkan patah, katanya, pihak hospital memaklumkan tiada pembedahan akan dilakukan pada bahagian hidungnya, menurut Astro Awani.

"Doktor maklumkan kecederaan pada hidung akan pulih dengan sendiri dan tidak perlu menjalani sebarang pembedahan," katanya.

Buat masa ini juga, Ustaz Azhar Idrus tidak boleh menerima sebarang kunjungan kerana perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sehingga keadaan mengizinkan.

"Terima kasih atas titipan doa daripada semua.

"Bagaimanapun buat masa ini beliau perlu berehat sepenuhnya dan kita tidak dapat menerima sebarang kunjungan untuk menziarahi beliau sehingga keadaan mengizinkan.

"Kita jangka tempoh pemulihan beliau akan mengambil masa sehingga tiga bulan bergantung kepada saranan pihak hospital," kata Wan Safari Wan Ahmad.

Sebelum ini, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan patah tangan kiri dan hidungnya kerana terjatuh daripada basikal setelah menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 6.30 petang setelah basikal yang dikayuh beliau tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terpelanting.

Ekoran insiden itu penceramah bebas berkenaan dikejarkan ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

- Agensi berita/HA/ha

Top