Images
  • j
    (Gambar: Upin & Ipin/Facebook)

Upin & Ipin hasilkan buku filem animasi bagi rujukan

KUALA LUMPUR: Selepas mencatat kutipan panggung sebanyak RM26 juta (S$8.57 juta) dan memenangi Filem Cetera Terbaik Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terus dijulang dengan pelancaran buku konsep seni dan visual, filem animasi pertama di Malaysia.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Encik Burhanuddin Md Radzi berkata, dengan usahasama Kumpulan Media Karangkraf, buku tersebut dihasilkan sebagai bahan rujukan kepada tenaga pengajar dan pelajar bidang seni dan animasi.

“Buku seperti ini belum pernah dihasilkan oleh mana-mana penerbit filem animasi negara, ia boleh menjadi bahan rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang perfileman atau kepada pelukis konsep (artist).

“Tujuan kami lancarkan buku ini adalah untuk merakamkan hasil usaha kakitangan kami yang hampir kesemuanya rakyat Malaysia dan graduan universiti tempatan. Untuk filem ini dua pengarahnya adalah graduan UniKL (Universiti Kuala Lumpur),” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran buku konsep seni dan visual filem animasi itu di Institut Teknologi Maklumat Malaysia, UniKL (UniKL-MIT), di sini semalam (3 Okt).

Beliau berkata untuk permulaan pihaknya mencetak sebanyak 500 naskah buku dan akan ditingkatkan mengikut permintaan, dan ketika ini buku tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli dalam talian.

Buku tersebut ditulis oleh Cik Nur Naquyah Burhanuddin, Encik Mohd Farquar Azman dan Cik Aliya Nazlan, yang merupakan warga Les' Copaque yang terlibat secara langsung dengan produksi filem tersebut dalam tempoh tiga bulan penulisan mereka.

Filem Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal mula ditayangkan pada 21 Mac lalu dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM26 juta (S$8.57 juta) dalam tempoh tiga minggu ditayangkan.

- BERNAMA/NA/na

Top