Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ulang tahun Sudirman dikenang Google

Syarikat gergasi teknologi Google hari ini mengenang 65 tahun ulang tahun kelahiran Allahyarham Sudirman, dengan memuat naik 'Doodle' khas di laman utama pencarian Google Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Ulang tahun Sudirman dikenang Google

(Gambar: Google)

Diterbitkan : 25 May 2019 12:31PM Dikemas Kini : 25 May 2019 12:42PM

BERITAmediacorp: "Tanggal 31.. Bulan lapan, 57".

Begitulah permulaan lirik lagu patriotik Tanggal 31 yang dahulu didendangkan penyanyi termasyhur Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang mengenang hari kemerdekaan Malaysia.

Namun hari ini pada tanggal 25 Mei, giliran artis itu pula untuk dikenang para peminatnya yang menjangkaui Malaysia.

Syarikat gergasi teknologi Google hari ini mengenang 65 tahun ulang tahun kelahiran Allahyarham Sudirman, dengan memuat naik 'Doodle' khas di laman utama pencarian Google Malaysia.

Doodle tersebut menggambarkan seorang penyanyi lelaki membuat persembahan dengan mikrofon di atas pentas.

Google Doodle merupakan imej khas yang dimuat naik setiap hari bagi memperingati pentingnya hari tersebut.

Apabila seseorang menekan imej hari ini, beliau akan dibawa ke laman yang menceritakan sejarah ringkas Allahyarham Sudirman.

(Gambar: Facebook/Datuk Sudirman Hj Arshad)

Menurut laman tersebut, Allahyarham Sudirman dilahirkan pada 1954 di Temerloh, Pahang, dan merupakan anak bongsu tujuh beradik.

Sebelum menempa nama sebagai salah seorang penghibur paling popular Asia, Allahyarham bekerja sebagai wartawan dan kemudiannya sebagai seorang peguam.

Nama beliau sebagai seorang penyanyi mula mengharum apabila memenangi peraduan Bintang Radio Televisyen Malaysia.

Penyanyi yang turut mengatasi carta-carta di Brunei, Singapura dan Indonesia itu antara lain dikenang sebab persembahannya pada 15 April 1986 di Chow Kit Road, Kuala Lumpur, yang ditonton lebih 100,000 peminat pelbagai bangsa.

Beliau malah tidak asing di persada antarabangsa dan pernah membuat persembahan di pentas berprestij Royal Albert Hall di London dan memenangi Anugerah Muzik Asia Popular pada 1989.

(Gambar: Facebook/Datuk Sudirman Hj Arshad)

(Gambar-gambar: Facebook/Datuk Sudirman Hj Arshad)

Bakat penghibur itu menjangkaui dunia nyanyian. Para peminatnya pasti masih teringat pada filem Kami yang dibintanginya, yang berkisarkan kisah anak-anak yatim di Kuala Lumpur.

Allahyarham Sudirman meninggal dunia pada 1992.

Meskipun sudah 27 tahun sejak pemergiannya, ternyata penghibur bernama Sudirman Haji Arshad masih tetap dikenang ramai.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan