Images
  • sembilu stars
    (Gambar-gambar: Facebook/Erra Fazira, Instagram/Awie Official, Asyraf Yunos/BERITAmediacorp)

Ulang tahun ke-25 'Sembilu': Awie beri bayangan identiti sebenar watak Wati

MALAYSIA: Sebut sahaja 'Sembilu', pasti anda akan terbayangkan wajah trio Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira, yang masih 'muda-muda' dalam filem pecah panggung terbitan Skop Productions Sdn Bhd.

Diam tak diam, Ahad lalu (18 Ogos) genap 25 tahun sejak filem yang mengisahkan cerita cinta antara watak Awie dan Wati itu pertama kali ditayangkan pawagam.

Namun sedang para peminat mengimbas kembali kenangan filem itu, satu soalan mungkin akan mula timbul - siapakah identiti Wati sebenarnya? Adakah ia sekadar watak rekaan semata-mata, atau bersandarkan kisah sebenar seorang kekasih yang persis citra sakti mimpi... insan?

Dalam satu temu bual Awie dengan Astro Awani, pemain watak 'hero' filem itu dan juga penyanyi lagu terkenal 'Di Ambang Wati', memberikan sedikit bayangan tentang misteri watak itu.

DI AMBANG... IDENTITI WATI

“Siapa pun tak tahu sebenarnya siapa Wati itu, siapa pun tak pernah tahu. Tapi ketika tahun 80-an pernah ada terkeluar dalam majalah gambar Wati tetapi semasa zaman itu tiada lagi keadaan viral dan orang mungkin ingat-ingat lupa,” kongsi Awie seperti dilaporkan Astro Awani.

Menurut Astro Awani lagi, perkongsian itu lantas mengesahkan desas-desus dahulu yang membuatkan filem itu mendapat kutipan box office di pawagam.

“Sebelum, filem itu memulakan penggambaran lagi, publisiti mengenai kisah cinta Awie bakal difilemkan telah pun mendapat perhatian ramai, ditambah dengan gabungan tiga nama besar industri hiburan ketika itu," menurut ketua kandungan Studio Astro, Syazwan Zakariah.

Ini, menurut beliau, antara faktor utama yang menarik orang ramai ingin menonton filem tersebut.

Namun selain itu, pasti nama-nama bintang yang sedang hangat ketika itu juga menjadi azimat penarik penonton ke pawagam.

"Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menjadi sebab utama mengapa filem Sembilu mendapat sambutan yang menggalakkan.”

Tambah beliau lagi: “Dalam masa yang sama nama Yusof Haslam juga sangat besar ketika itu kerana telah berjaya membawa Ella ke dalam dunia perfileman menerusi filem Pemburu Bayang dan Bayangan Maut, kerana itu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yakin untuk berlakon di bawah arahan beliau.”

KISAH WATI SEKARANG, BAGAIMANA PULA?

Suku abad sudah berlalu, namun apa pula kisah 'Wati' yang sebenar sekarang?

Memetik senikata lagu Di Ambang Wati, adakah Awie masih mengharap-harapkan agar kembali terpatri panji sejahtera, mengotakan janji silam?

“Wati sudah pun berkahwin dan punya keluarga sendiri. Saya mengenali adik beradiknya dan saya masih lagi berhubung dengan abangnya.

“Hubungan saya dengan keluarganya baik, cuma ketika itu mendapat halangan ibu bapa kerana dia masih menuntut di universiti,” katanya.

Nampaknya, kisah asmara kejar mengejar antara Awie dan Wati sudah benar-benar berakhir - sama ada di dalam atau luar layar perak.

Namun yang pasti, setelah membaca artikel ini pasti ada peminat tegar Awie, Erra dan Ziana yang akan sibuk mencari CD untuk menonton semula filem sehangat nyawa bergelora, yang pernah meraih kutipan sebanyak RM4.2 juta (S$1.4 juta) satu ketika dulu.

- Agensi berita/TQ/tq

Top