Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tulis lagu, main 'game', tonton Netflix: Cara Sufie Rashid hadapi perintah kawalan pergerakan M'sia

Dalam tiga hari pertama perintah kawalan pergerakan Malaysia dikuatkuasakan, penyanyi Singapura Sufie Rashid meluangkan masanya dengan menulis lagu-lagu baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Tulis lagu, main 'game', tonton Netflix: Cara Sufie Rashid hadapi perintah kawalan pergerakan M'sia

Penyanyi Singapura, Sufie Rashid. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 22 Mar 2020 10:47AM Dikemas Kini : 22 Mar 2020 10:52AM

SINGAPURA: Dalam tiga hari pertama perintah kawalan pergerakan Malaysia dikuatkuasakan, penyanyi Singapura Sufie Rashid meluangkan masanya dengan menulis lagu-lagu baru.

Sekalipun demikian, beliau tetap berasa bimbang memandangkan semua komitmen nyanyiannya, termasuk konsert dan rakaman lagu baru sudah dibatalkan.

Sufie, 29 tahun, berpindah ke Kuala Lumpur untuk mengejar kerjaya seni pada 2015 setelah menjuarai peraduan nyanyian Akademi Fantasia, di negara itu.

Sufie dan isterinya, Nurulaini Md Yusof, yang merupakan rakyat Malaysia, juga memulakan perniagaan menjual biskut, yang kerap dihantar ke Singapura, sehinggalah perintah kawalan pergerakan itu dikuatkuasakan pada Rabu (18 Mac).

"Pada hari perintah kawalan pergerakan itu diumumkan, saya berada di Singapura, kata Sufie dalam wawancara bersama Mediacorp pada Jumaat (20 Mac).

"Sebaik mendengar berita, semuanya menjadi kelam kabut. Saya segera balik ke KL untuk mengambil semua biskut yang perlu dihantar ke Singapura dan kemudian berpatah balik ke Singapura. Saya serahkan semuanya kepada kakitangan saya dan bergegas pulang ke KL lagi sebelum perintah itu bermula," cerita Sufie.

Sufie juga menjelaskan bahawa beliau memilih untuk kembali ke KL untuk bersama isterinya sepanjang perintah tersebut.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada Isnin (16 Mac) bahawa Malaysia akan melarang rakyatnya daripada keluar negara mulai Rabu, 18 Mac hingga 31 Mac. Matlamatnya adalah untuk mengawal penularan COVID-19.

Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin selama 14 hari.

Rakyat Malaysia yang sering keluar masuk Singapura untuk bekerja atau bersekolah tidak akan dapat melakukannya sepanjang tempoh itu.

Sufie menyifatkan bulan Mac ini sebagai bulan "paling banyak tekanan" bagi dirinya sejauh ini.

"Mereka juga mengumumkan tiada bazar Hari Raya di Singapura tahun ini. Banyak perniagaan terjejas, termasuk perniagaan saya," kata Sufie, yang merancang untuk menjual biskutnya di bazar.

"Satu kegiatan yang boleh saya lakukan untuk tidak terus menerus berasa khuatir adalah dengan menonton rancangan di Netflix atau bermain permainan video dan meluangkan masa bersama isteri," kata beliau.

Seorang lagi warga Singapura yang menetap di Malaysia, adalah usahawan Harris Baba, yang terpaksa berjauhan daripada isteri dan dua anaknya yang berada di Kota Kinabalu, Sabah. Beliau berpindah ke Malaysia selepas bernikah pada 2016.

Semasa perintah kawalan pergerakan itu diumumkan, Harris, 28 tahun berada di Kuala Lumpur atas urusan perniagaan. Beliau tidak dapat pulang ke Kota Kinabalu untuk bersama keluarganya disebabkan urusan-urusan yang tidak boleh dibatalkan.

"Saya mahu pulang ke Sabah sekarang tetapi ada beberapa urusan yang perlu saya selesaikan sebelum boleh terbang ke sana. Lagipun tiada pengesahan bahawa saya boleh terbang ke sana," kata Harris.

Sebagai sebahagian daripada perintah kawalan pergerakan itu, mereka yang mahu bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain perlu memaklumkan kepada polis dan mendapatkan surat kebenaran untuk melakukannya. Mereka boleh mendapatkan dokumen tersebut di salah satu daripada 156 ibu pejabat polis daerah di merata negara.

"Kalau saya dapat balik ke Sabah sekalipun, saya tidak dapat berjumpa keluarga saya sekurang-kuranya seminggu. Saya perlu menjalani pemeriksaan terlebih dahulu dan keputusannya mengambil masa beberapa hari," kata Encik Harris, merujuk kepada ujian-ujian perubatan berkaitan COVID-19.

TIDAK PATUH PERINTAH

Seorang warga Malaysia, Brian Victor, memberitahu Mediacorp bahawa rakyat Malaysia mengambil kesempatan daripada tempoh 14 hari perintah kawalan pergerakan itu untuk "balik kampung".

"Begitu ramai orang bergegas ke balai polis untuk mengisi borang pulang ke kampung walaupun pihak berkuasa menasihatkan agar duduk di rumah," kata Encik Victor, 24 tahun, yang menetap di Selangor dan bertugas sebagai cef.

Cik Nicole Elizabeth Soyza, 24 tahun, seorang pegawai eksekutif perhubungan awam, dari KL juga berasa kecewa.

"Saya harap kerajaan kami akan mengerahkan askar kerana ramai rakyat Malaysia menganggap ini seperti cuti umum dan bersiar-siar mengunjungi rakan dan sanak saudara. Kita sudah lihat apa yang berlaku di Eropah apabila virus itu tidak dikawal, jadi saya amat kecewa apabila ramai rakyat Malaysia masih memilih untuk tidak mempedulikannya," kata beliau.

Harapannya itu kini menjadi nyata apabila Menteri Pertahanan Ismail Sabri mengumumkan bahawa Malaysia akan mengerahkan askar mulai hari ini (22 Mac) untuk membantu polis menguatkuasakan perintah kerajaaan, yang meminta orang ramai duduk di rumah di tengah-tengah penularan COVID-19. Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat tergempar diadakan bagi meminta bantuan askar.

Cik Sara Edryanna, 22 tahun, yang berada di Pasir Gudang, Johor dan bapa saudaranya bertugas sebagai polis, berkata: "Polis meronda kejiranan-kejiranan tertentu untuk memberi amaran kepada mereka yang masih berada di luar. Ada juga yang masih duduk di kedai-kedai makan."

Pada Rabu lalu, Encik Muhyiddin berkata Malaysia mungkin melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan itu kepada lagi "dua minggu atau lebih" jika langkah itu gagal mengawal penularan COVID-19.

Beliau menggesa rakyat Malaysia supaya terus duduk di rumah sepanjang dua minggu itu.

Jumlah pesakit COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 1,183, dengan lapan kes kematian, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan