Images
  • tom hanks
    Pelakon Tom Hanks bakal menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat di Golden Globes. (Gambar: Geoff Robins/AFP)

Tom Hanks penerima Anugerah pencapaian sepanjang hayat di Golden Globes

LOS ANGELES: Aktor Hollywood kesayangan ramai, Tom Hanks, bakal mengukir satu lagi sejarah sepanjang pelibatannya dalam bidang seni lakon dengan menerima anugerah pencapaian seumur hidup di majlis Golden Globe pada 5 Januari 2020.

Persatuan Media Asing Hollywood (HFPA) menyatakan pada Selasa (24 Sep) bahawa Hanks akan diberi penghormatan dengan Anugerah Cecil B DeMille, satu penganugerahan tinggi atas sumbangannya kepada industri hiburan.

Pelakon, penerbit terkemuka itu yang kelihatan awet muda kini berusia 63 tahun. Kali pertama beliau membuat penampilan dalam filem adalah menerusi 'Big' pada 1988 dengan mendukung watak seorang remaja yang terperangkap dalam tubuh dewasa apabila terjaga daripada tidur.

Sedari itu, Hanks merangkul anugerah Oscars serta Golden Globes berturut-turut pada 1994 dan 1995 bagi lakonan mantapnya dalam drama Philadelphia yang mengisahkan pesakit AIDS serta filem genre komedi Forrest Gump.

Hanks bakal muncul dalam filem terbarunya pada November ini, memainkan watak Mister Rogers, iaitu seorang pengacara rancangan televisyen Amerika Syarikat yang popular dalam kalangan kanak-kanak, dalam A Beautiful Day In The Neighborhood.

Beliau sudah membintangi lebih 80 filem lain termasuk Sleepless In Seattle dan Private Ryan selain menyumbang suara untuk watak koboi bernama Woody dalam francais filem animasi Toy Story.

Anugerah Cecil B DeMille diberikan setiap tahun kepada seorang pelakon, pengarah atau penerbit yang meninggalkan kesan mendalam kepada industri perfileman. Para penerima sebelum ini termasuk Steven Spielberg, Meryl Streep, Oprah Winfrey, Jeff Bridges dan Harrison Ford. 

- REUTERS/FZ/fz

Top