Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tokoh penyiaran Suhaimi Jais penerima anugerah sepanjang hayat Pesta Perdana 2021

Tokoh TV Melayu & Inggeris yang pernah mengarahkan acara antarabangsa 'Miss Universe', serta mengendalikan artis-artis legenda seperti Rod Stewart, Tracy Huang dan Sudirman Hj Arshad, dinobatkan anugerah sepanjang hayat dalam Anugerah Perdana Emas Pesta Perdana 2021.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beliau memang layak dianggap seorang legenda dunia penyiaran televisyen Singapura. Bayangkan, berapa orang boleh mengaku pernah mengarahkan acara antarabangsa seperti pertandingan ratu cantik 'Miss Universe', yang disiarkan di puluhan negara dan disaksikan jutaan penonton?

Itu sudah beliau lakukan pada tahun 1987.

Beliau juga pernah mengendalikan artis-artis legenda antarabangsa seperti Rod Stewart, Pat Boone, Tracy Huang dan Sudirman Hj Arshad untuk rancangan televisyen.

Itulah antara pencapaian-pencapaian 'orang TV' bernama Suhaimi Jais - nama yang cukup sinonim dengan dunia penerbitan hiburan Melayu di Singapura selama lebih 40 tahun.

Demi mengenang dan menjulang segala sumbangannya kepada dunia televisyen, khususnya dunia hiburan Melayu di Singapura, Suhaimi Jais dinobatkan dengan anugerah pencapaian sepanjang hayat iaitu Anugerah Perdana Emas semasa acara gah Pesta Perdana 2021 pada Jumaat (5 Mac).

"Terima kasih kepada Mediacorp Suria atas penghargaan, pengiktirafan ini.

"Saya amat-amat berterima kasih kepada keluarga saya atas pengorbanan, toleransi, perasaan timbang rasa terhadap kerjaya saya selama ini. 40 tahun pengorbanan. 40 tahun kemaafan," kata Encik Suhaimi, yang kini berusia 68 tahun, dalam ucapan penerimaan anugerah itu secara langsung di Suria.

Para artis tempatan memberi sanjungan tinggi kepada kepimpinan, arahan dan bimbingan yang pernah beliau curahkan kepada mereka.

"Beliau seorang yang inginkan kesempurnaan. Dia nak semuanya lancar. Suhaimi Jais seorang penerbit, pengarah televisyen yang suka 'beauty' (keindahan) dan dia dapat membuat seorang artis itu mempengaruhi penonton di kaca TV," kongsi penyanyi dan pelakon veteran Rahimah Rahim mengenai kelebihan veteran televisyen itu.

Tokoh tarian dan pemenang Pingat Budaya, Som Said pula berkata: "Beliau seorang yang mementingkan mutu. Mutu dari segala hal.

(Gambar: Petikan Skrin)

(Gambar: Petikan Skrin)

"Untuk Suhaimi Jais, Kak Som ingin mengucapkan tahniah. Terima kasih di atas perjalanan ini bersana anda. (Semoga) sukses selalu."

Mungkin salah satu peninggalan Suhaimi Jais sebagai orang TV adalah beliau turut meninggalkan anak-anak didik yang kini turut menjadi nama besar dalam dunia televisyen. Antara mereka termasuklah Faisal Ishak yang kini turut mengukir nama sebagai pengarah drama berkaliber.

"Beliau selalu menekankan betapa pentingnya penceritaan. Beliau menitikberatkan emosi. Kerana dengan emosi, ia akan membuka minda dan meneroka apa yang jiwa boleh lakukan.

"Dengan segala hormat dan rasa berterima kasih, saya rasa penganugerahan perdana emas ini memang datang dengan tepat pada masanya untuk Encik Suhaimi Jais," kata Faisal menerusi video yang disiarkan semasa Pesta Perdana 2021 sebagai penghormatan kepada Encik Suhaimi.

'THE ENTERTAINMENT MAN'

Encik Suhaimi memulakan kerjayanya dalam bidang penyiaran pada 14 Oktober 1975. Sejurus tamat pengajiannya di universiti, beliau diambil bertugas sebagai seorang Penolong Penerbit di Radio Televisyen Singapura (RTS).

(Gambar: Petikan Skrin)

(Gambar: Petikan Skrin)

Di kalangan para pemain industri, beliau akhirnya gelar sebagai 'The Entertainment Man' (Jejaka Hiburan).

Sebagai karyawan televisyen, Encik Suhaimi menjadi tangga kerjaya sehinggalah memegang jawatan Timbalan Presiden Kanan untuk Suria dan Eaglevision sebelum beliau bersara pada 2017.

BANYAK RANCANGANNYA MENANGI ANUGERAH

Di bawah kepimpinannya, banyak rancangan yang pernah diterbitkan Encik Suhaimi berjaya memberi kesan kepada para penonton.

Antaranya termasuklah rancangan-rancangan hiburan dan drama-drama Anak Metropolitan, Bunga Tanjong, Sinaran Suria, Simfoni Layar Perak, Simfoni Lebaran & Sinar Lebaran, Rok Elektra, Bandstand Elektra, Viva Elektra dan Muzika Ekstravaganza.

Rancangan-rancangan yang beliau terbitkan juga pernah memenangi anugerah tempatan dan antarabangsa.

Misalnya Drama khas 'Bunga Tanjong' yang diterbitkan pada 2014 pula pernah menerima pengiktirafan di Festival Televisyen dan Filem New York 2017. Siri 'Anak Metropolitan' pula adalah karya berani yang mengetengahkan isu-isu sosial masyarakat Melayu pada awal tahun-tahun 2000.

(Gambar: Petikan Skrin)

(Gambar: Petikan Skrin)

Selain program-program dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, Encik Suhaimi juga pernah terlibat dalam penerbitan rancangan-rancangan dalam bahasa Tamil.

Yang pasti, segala pengetahuan dan pengalaman yang beliau timba dalam penerbitan antarabangsa dicurahkan kembali kepada rancangan-rancangan tempatan.

"Pelajaran yang saya dapati dari mengarahkan program-program seperti ini memberi inspirasi kepada saya untuk membuat penerbitan yang lebih hebat lagi," kongsi beliau.

Yang pasti Suhaimi Jais tidak lupa untuk membariskan banyak nama untuk diberi sekalung budi kepada mereka yang pernah menjadi inspirasi kepadanya:

"Saya tak akan lupa jasa pengarah veteran - Bani Buang, Mokram Kasim - yang telah banyak membimbing saya pada hari-hari awal saya di televisyen. Sebagai penerbit-pengarah, ilham dan inspirasi saya, datang dari karya seni dan interaksi saya dengan karyawan-karyawan yang terkenal.

"Malangnya ramai yang telah pergi meninggalkan kita. Maestro Ahmad Jaffar, guru saya dalam muzik Melayu. Iskandar Mirza Ismail, penata muzik yang meletakkan musik Melayu ke tahap antarabangsa. Tiada klasik, maka tiada R&B, pop rock. Penghormatan saya kepada Allahyarham P Ramlee, Zubir Said dan Yusoff Bee," ucap beliau yang turut memberi penghormatan kepada rakan-rakannya seperti Sabariah Ramilan dan Amirudin Abbas.

HARAPAN MASA DEPANNYA UNTUK INDUSTRI PENYIARAN TANAHAIR...

Walaupun sudah bersara secara rasmi daripada Mediacorp sejak empat tahun lalu, Encik Suhaimi masih 'belum bersara' sebenarnya. Beliau masih giat menyumbang kepakarannya kepada industri sebagai seorang Konsultan Penerbit Eksekutif bebas.

Buat masa ini, Encik Suhaimi terlibat sebagai konsultan untuk sebuah rancangan 'game show' di Suria terbaru 'Lintas Pintas' dan sebuah drama Tamil di saluran Vasantham 'Azhagiya Thamizi Magal 2'.

(Gambar: Mediacorp Suria)

(Gambar: Mediacorp Suria)

Hakikatnya, masyarakat antara lain harus berterima kasih kepada Suhaimi Jais kerana kedudukan rancangan dan status televisyen Suria sekarang, yang beliau pernah bantu bina.

"Kalau kita tengok dua dekad yang telah lalu, banyak persaingan dari FTA - Free To Air TV - yang lain dan juga digital. Itu memberi semangat kepada kami untuk menaikkan lagi tahap kualiti penerbitan Mediacorp. Mudah-mudahan ini akan diteruskan lagi dengan penerbit-penerbit di masa akan datang.

"Dan saya harap audiens akan bersama Suria untuk menangani fenomena ini," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Encik Suhaimi juga berharap generasi pelapis televisyen Melayu akan terus menghasilkan rancangan-rancangan yang bermutu tinggi "yang lebih hebat dari kami".

"Pencapaian kami akan diukur oleh generasi yang akan datang. Sejarah akan menentukan," kata Encik Suhaimi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan