Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tidak terus leka dalam zon selesa, Erra Fazira pelbagaikan bakat agar kekal relevan

Dengan rekod 27 tahun menjadi anak seni, Erra Fazira atau nama penuh, Fazira Wan Chek, 47 tahun percaya bahawa formula mempelbagaikan bakat perlu menjadi pegangan artis untuk terus relevan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak terus leka dalam zon selesa, Erra Fazira pelbagaikan bakat agar kekal relevan

Gambar: Instagram/errafazira

Diterbitkan : 30 Oct 2021 12:50PM Dikemas Kini : 30 Oct 2021 12:56PM

KUALA LUMPUR: Dengan rekod 27 tahun menjadi anak seni, Erra Fazira atau nama penuh, Fazira Wan Chek, 47 tahun percaya bahawa formula mempelbagaikan bakat perlu menjadi pegangan artis untuk terus relevan.

Bagi Erra yang digelar 'Primadona Filem Melayu', dia tidak boleh statik dengan apa yang dimiliki atau terus leka dalam zon selesa, lapor BH Online.

Pernah melakar sejarah merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tujuh kali sejak 1994, Erra optimis mencabar diri mencuba pelbagai cabang seni lain.

Buktinya, ibu kepada Engku Aleesya itu yang selama ini menyanyi dan berlakon, turut berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan dan menembusi pasaran televisyen (TV).

Maka, tidak pelik, penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu bolos buat kali pertama sebagai calon Top 5 kategori Artis Versatil Popular ABPBH 34.

"Lambat laun, jadi artis atau anak seni ini tidak boleh terarah kepada satu bidang kerja atau gelaran semata mata. Seperti saya sebelum ini, banyak berlakon filem.

"Bolos Top 5 bagi kategori Artis Versatil Popular membuatkan saya terkejut bercampur teruja. Saya melihat pencalonan itu sebagai suatu anjakan seni.

"Saya pernah dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, Pengacara Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular," katanya kepada BH Online.

Erra percaya pencalonan terbaru di ABPBH 34 sebagai isyarat peribadi yang sangat positif.

"Ini bermakna apa yang saya lakukan disedari dan diperhatikan demi survival," katanya.

Dalam kategori Artis Versatil Popular, Erra sebagai artis veteran berentap dengan generasi baru termasuk Siti Nordiana, Mira Filzah, Janna Nick dan Sissy Imann.

"Tampak jelas calon lain bijak memasarkan diri untuk mempelbagaikan kerja seni. Tidaklah semata-mata bergantung kepada berlakon filem atau drama.

"Pendek kata, untuk kekal relevan, artis tidak boleh bergantung kepada satu kategori atau cabang seni sahaja. Kalau rasa selain berlakon, boleh mengacara, cabar diri dan lakukannya.

"Langkah ini bagus untuk industri seni. Lihat saja bagaimana industri seni K-pop di Korea. Artis mereka turut mempelbagaikan bakat seni dan bersaing secara sihat," katanya.

Tambah pelakon filem Sembilu itu, bersaing dengan empat calon Top 5 dianggap penghormatan buatnya.

"Bagi saya untuk berada sebaris dengan generasi pelapis, menjadi suatu kebanggaan. Soal menang atau kalah, ia rezeki Allah dan pastinya atas undian serta sokongan peminat," katanya yang disokong kelab peminat, Bersama Erra.

BH Online melaporkan Erra turut memuji usaha peminat yang tidak putus-putus menyokong dan mengundinya pada ABPBH 34.

"Hampir setiap hari peminat akan kongsi dan hantar laporan undian mereka di Instagram (IG). Saya amat terhutang budi dan terharu dengan kesungguhan mereka.

"Peminat tidak pernah jemu membakar semangat," katanya.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan