Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tidak pernah wujud atau timbul isu saya kena 'gam', kata Hisyam Hamid

Pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, menyangkal dakwaan bahawa beliau 'kena gam' oleh stesen penyiar Malaysia TV3.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak pernah wujud atau timbul isu saya kena 'gam', kata Hisyam Hamid

Pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid. (Gambar: Hisyam Hamid/Instagram)

Diterbitkan : 02 May 2021 09:11PM Dikemas Kini : 02 May 2021 09:13PM

KUALA LUMPUR: Pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, menyangkal dakwaan bahawa beliau 'kena gam' oleh stesen penyiar Malaysia TV3.

Ini setelah beliau sudah agak lama tidak muncul dalam drama-drama terbitan stesen itu - lebih tepat lagi tujuh tahun.

Kali terakhir Hisyam dilihat berlakon di TV3 adalah dalam drama bertajuk Ariana Rose.

Namun kini, Hisyam kembali membintangi beberapa drama termasuk Cukup Derita Itu, adaptasi novel karya Siti Rosmizah yang diarahkan Along Kamaludin. Hisyam juga kali pertama digandingkan dengan Ruhainies dalam drama terbitan SR One Sdn Bhd itu, menurut Berita Harian Malaysia.

"Tidak pernah wujud atau timbul isu saya kena 'gam' atau menimbulkan masalah dengan syarikat produksi mahupun stesen TV3. Saya akui, tidak muncul di kaca TV3 selepas drama Ariana Rose.

"Ini kerana saya mengikat kontrak selama enam tahun dengan Astro. Seperti yang diketahui, saya tidak boleh berlakon dalam stesen televisyen (TV) lain selama terikat dengan kontrak. Bagaimanapun, kontrak saya tamat, tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya kembali membintangi drama terbitan TV3. Tak mungkin saya dapat melupakan jasa TV3 yang pernah memperkenalkan nama saya menerusi drama Ariana Rose," katanya kepada BH Online.

Hisyam turut mengakui, pandemik COVID-19 memberi kesan, apatah lagi, beliau tersangkut di Singapura selama beberapa bulan pada tahun lalu.

"Saya pernah berada dalam dilema untuk kembali ke Kuala Lumpur selepas kerajaan memberi lampu hijau kepada syarikat produksi meneruskan penggambaran, tahun lalu. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, apatah lagi, saya perlu melunaskan penggambaran tertunggak ketika itu.

"Bagaimanapun, saya bersyukur diberi limpahan rezeki, tahun ini. Memang nampak rentak saya agak perlahan, tetapi sehingga kini, saya masih diberikan tawaran sebagai hero," katanya.

Katanya, dia bersyukur diberikan tawaran drama Hatimu Sedingin Salju arahan Bahri Umar untuk siaran TV3.

"Saya bergandingan dengan Aprena Manrose. Ia umpama sirih pulang ke gagang. Kemudiannya, saya menerima tawaran untuk membintangi drama Cukup Derita Itu.

"Banyak juga penangan kali pertama untuk drama ini. Ini juga kali pertama saya berlakon di bawah arahan Along Kamaludin dan muncul menerusi slot Samarinda.

"Semestinya peluang ini tidak akan dipersia-siakan. Saya sememangnya meletakkan harapan dan sasaran. Tekanan tetap ada, tetapi ia lebih kepada diri sendiri. Namun, saya sedaya upaya menanganinya dengan baik," katanya, menurut BH Malaysia Online.

Untuk drama Cukup Derita Itu, Hisyam berkata, ia karya Siti Rosmizah dan diarahkan Along, pastinya dia mahu memberikan lakonan terbaik.

"Along amat mengutamakan soal mutu kerja. Selagi tidak dapat apa yang dimahukan, saya akan berusaha melakukannya berulang kali hingga memuaskan hati.

"Penggambaran drama Cukup Derita Itu dijangka selesai pada Jun depan. Belum habis projek ini, saya ditawarkan pula drama lain di TV3 pada Ogos.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya ditawarkan watak hero. Jujurnya, saya tidak pernah minta watak hero semata-mata. Namun, sudah rezeki. Jika projek ini jadi rezeki kenyataan, jadual kerja saya akan penuh hingga hujung tahun," katanya.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan