Images
  • Ezad Lazim
    Bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim. (Gambar fail: Ezad Lazim)

Tidak mungkin terus bersama Exists, kata Ezad Lazim

KUALA LUMPUR: Lebih sedekad bergerak solo, bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim mengakui, beliau selesa beraksi sendiri, meskipun peminat ingin melihat mereka kembali bersatu.

Ezad yang beraksi bersama kumpulan itu sempena Konsert Exists Reunion 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam dan Singapura, baru-baru ini berkata, beliau tidak terfikir untuk kembali ke pangkuan Exists, biarpun masih ada permintaan, lapor BH Online.

“Tidak dinafikan, konsert penyatuan semula itu membuktikan aura dan jenama Exists masih gah, namun ia hanya projek khas untuk melepaskan kerinduan peminat.

“Jika ada yang beranggapan, ia sebagai isyarat untuk kami kembali bersatu, saya rasa mustahil, tambahan pula masing-masing mempunyai komitmen tersendiri.

“Saya tiada apa-apa isu dengan Exists, cuma tidak terfikir lagi ke arah itu. Saya sudah lama bergerak solo, begitu juga Mamat. Kami pernah melalui zaman kegemilangan dan ia lumrah apabila sampai masa, masing-masing bergerak membawa haluan sendiri,” katanya kepada BH Online,

Menyentuh perjalanan sebagai penyanyi solo, Ezad mengakui, ia bukan perkara yang mudah, terutama pada awal perjalanan.

“Saya bergelut memperkenalkan diri sebagai penyanyi solo. Malah, ada yang tidak pandang, biarpun sudah menghasilkan single demi single. Hala tuju kerjaya solo saya kabur.

“Namun, penyertaan dalam Gegar Vaganza 2, seterusnya mara ke peringkat akhir menaikkan semula populariti saya dalam industri muzik. Ia menjadi batu loncatan untuk peminat lebih mengenali kemampuan Ezad Lazim.

“Program itu memberi suntikan baharu dalam kerjaya nyanyian saya. Memang ada kelompok peminat berharap saya kembali bersama Exists kerana impak kemunculan itu lebih dirasai apabila bersama mereka.

“Tetapi, apabila bergerak solo, saya berusaha untuk tidak terus dibayangi kumpulan itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ezad yang muncul dengan single bersama Mamat, Takkan Berakhir turut sibuk mempromosikan lagu duet bersama penyanyi baharu naungan Broadway Entertainment, Fieza Hanis.

Mereka merakamkan semula lagu popular Alleycats, Jika Kau Bercinta Lagi yang diberi nafas baharu.

“Saya terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Sama ada penyanyi baharu atau lama, saya tiada masalah. Lagipun, saya memang meminati lagu itu,” katanya.

- Agensi berita/EM/tq

Top