Images
  • chris hemsworth
    Pelakon Chris Hemsworth (Gambar: AFP)

Thor ikrar derma AS$1 juta bantu padam kebakaran di Australia

AUSTRALIA: Beliau mungkin tidak mempunyai kesaktian untuk membawa hujan dan halilintar, namun pelakon watak Thor, Chris Hemsworth, tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan - dengan menderma AS$1 juta (S$1.35 juta) bagi menyokong para penduduk dan pasukan bomba yang sedang bekerja keras untuk memadamkan kebakaran belukar di tanah airnya sendiri, Australia.

Pelakon itu membuat rayuan di Instagram pada Selasa (7 Jan) bagi menggalak orang ramai untuk sama-sama menyumbang. Adiknya yang juga merupakan seorang pelakon Hollywood, Liam, turut mengulang siar mesej yang sama.

Beliau berkata, "Seperti yang anda sedia maklum, kebakaran hutan di Australia telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Kebakaran terus marak, cuaca panas dijangkakan, kita masih berdepan dengan cabaran, lebih banyak cabaran boleh dijangkakan."

Pelakon kelahiran Melbourne itu juga mengumumkan melalui sebuah klip video bahawa beliau sekeluarga akan mendermakan AS$1 juta (S$1.35 juta).

Beliau menambah: "Apa yang kami perlukan adalah sokongan dan derma anda. Saya akan memulakan dengan derma bernilai sejuta dolar dan saya berharap anda semua boleh menyumbang dengan apa saja cara atau bentuk. Setiap dolar bermakna. Sumbangan anda akan sampai terus kepada para anggota bomba, orang-orang di barisan hadapan, orang yang sedang menderita, masyarakat terjejas dan mereka yang sangat-sangat memerlukan bantuan kita. "

Hemsworth adalah selebriti terkini yang menarik perhatian kepada krisis di Australia dan yang sanggup menyeluk saku sendiri untuk membantu.

Kylie Minogue dan keluarganya mendermakan AS$500,000 (S$674,800) sementara penyanyi Elton John mengumumkan semasa konsertnya di Sydney pada Selasa bahawa beliau juga akan mendermakan AS$1 juta (S$1.35 juta).

Penyanyi rap Korea-Amerika, Jay Park juga menyumbang kepada usaha murni tersebut. Pada 5 Jan, beliau menulis ciapan Twitter bahawa beliau akan menyumbangkan AS$30,000 (S$40,490) dan "berharap ia dapat membantu sedikit sebanyak."

- APTN/CNA/TQ/tq

Top