Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Terputus ke tempat kerja, tapi tidak terputus akal untuk bekerja bagi penyanyi Nana Karia

Virus COVID-19 antara lain menutup periuk nasi ramai penyanyi, jika tidak semua penyanyi. Penyanyi tempatan Nana Karia antara yang akan mengangguk jika diajukan persoalan tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:
Terputus ke tempat kerja, tapi tidak terputus akal untuk bekerja bagi penyanyi Nana Karia

Penyanyi Nana Karia. (Gambar: Facebook/Nana Karia)

BERITAmediacorp: Virus COVID-19 antara lain menutup periuk nasi ramai penyanyi, jika tidak semua penyanyi. Penyanyi tempatan Nana Karia antara yang akan mengangguk jika diajukan persoalan tersebut.

Manakan tidak, Nana yang merupakan penyanyi profesional di tiga lokasi, selain berkhidmat sebagai jurulatih vokal di Sekolah Muzik Fame di Bukit Timah Plaza, kini tidak boleh 'masuk kerja'. Ini setelah kesemua tempat beliau mencari makan itu terpaksa ditutup sementara dek pelbagai arahan berkaitan pencegahan COVID-19.

Lazimnya penyanyi bersuara lantang dan 'besar' itu dapat meraih pendapatan lebih S$4,000 sebulan dari empat lokasi tersebut. Tetapi sekarang Nana terpaksa duduk rumah tanpa sebarang gaji.

ENGGAN GOYANG KAKI

Bagaimanapun, di tengah-tengah situasi COVID-19 yang memaksa beliau terkurung di rumah, Nana enggan 'goyang kaki'. Akhirnya timbul akal untuk menjalankan sesi 'e-busking' dan memaparkan nyanyiannya secara online dan langsung di laman Facebook.

(Gambar: Fame Music School/Facebook)

Selepas lima hari di rumah tanpa membuat apa-apa, saya dan suami bertekad mahu melakukan sesuatu yang produktif.

"Saya juga sudah terbiasa bekerja. Apabila dalam keadaan sekarang ini, saya bercadang 'bekerja dari rumah'. Sesi 'e-busking' ini versi saya bekerja dari rumah," kongsi Nana.

BUKA 'KOTAK TIP' BAK PENYANYI JALANAN LAIN

Setakat ini, dua sesi tersebut sudahpun dijalankan pada 28 dan 29 Mac.

Malah, seperti para penyanyi jalanan yang biasa menyanyi di luar, Nana juga memanfaatkan platform digital itu bagi membuka 'kotak tip' bagi mereka yang menikmati persembahan-persembahannya.

Malah, 'tip' yang diraihnya juga agak memberangsangkan, iaitu anggaran lebih S$500 bagi setiap sesi 'e-busking' 90 minit.

Wang tersebut yang dikirimkan menerusi kaedah Paypal, PayLah! dan PayNow dianggap sebagai rezeki sampingan bagi beliau.

"Ia bukan satu tuntutan. Kalau mereka terhibur, boleh hulurkan 'tip' itu. Kalau tak mahu beri, saya tetap akan membuat persembahan, berseronok dan memanfaatkan peluang ini untuk meluangkan masa bersama suami saya," jelas Nana.

KENDALIKAN VIDEO, PERALATAN SENDIRI

Bekerjasama dengan suaminya yang seorang jurutera penyiaran, Nana dan suaminya berganding bahu dalam menghasilkan sesi-sesi 'e-busking' itu.

"Kami memang sudah ada peralatan sistem bunyi di rumah, jadi kami menghasilkan video itu sendiri dengan kos yang sangat rendah.

"Setakat ini, penyiarannya berjalan dengan lancar, cuma kami tidak mempunyai kamera yang betul.

(Gambar: Nana Karia/Facebook)

"Jadi kami sudahpun membeli kamera yang baik bagi saling melengkapi audio dalam video itu nanti," kata Nana.

Video-video yang dirakamkan di Facebook itu juga sudahpun dimuat naik ke laman YouTube.

E-BUSKING BERTEMA 'ROCK HITS'

Bagi dua sesi e-busking pertama, tiada sebarang tema ditentukan sebelum ini. Namun buat sesi 'e-busking' ketiga nanti, Nana sudahpun meminta maklum balas orang ramai bagi tema 'e-busking' selanjutnya.

"Mereka memilih tema 'Rock Hits'. Jadi, saya perlu berlatih dengan 'minus one' dan lihat sama ada sesuai saya menyanyi lagu-lagu permintaan mereka," kongsi Nana.

Akur bahawa ia memerlukan keyakinan tinggi mengendalikan sesi tersebut, Nana turut berkata beliau mengutamakan interaksi dengan para penonton, walaupun di wadah online.

Sesi ketiga 'e-busking' di laman Facebook Nana Karia akan berlangsung pada Sabtu (4 Apr) pada 4.30 petang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan