Images
  • siti nurhaliza (1)
    (Gambar: Siti Nurhaliza Tarudin/Instagram)

'Terang' lagu terbaru Siti Nurhaliza sentuh soal masyarakat, cuit jiwa pendengar

KUALA LUMPUR: Hati nurani Siti Nurhaliza Tarudin tiada bezanya dengan individu lain - sentiasa mudah tersentuh setiap kali mendasari jiwa insan yang kekurangan.

Sepanjang lebih dua dasawarsa memahat nama sebagai orang terkemuka, penghibur nombor satu Malaysia itu sering mengingatkan dirinya bahawa di sebalik kemasyhuran yang dikecapi, masih ada sebilangan masyarakat yang ketandusan erti kasih sayang.

Maka itu, bagi mengubati rasa kekurangan golongan sedemikian, Siti Nurhaliza cuba mendekati mereka menerusi karya-karya seninya.

Melodi kasih sayang yang diterjemahkan dalam lagu-lagu, ujar penyanyi kesayangan ramai itu kepada Astro AWANI, setidak-tidaknya menjadi penghubung beliau dengan anggota masyarakat.

Justeru, apabila single terbaharunya berjudul 'Terang' dipasarkan, peminat menyifatkan karya tersebut sebagai sangat dekat dengan hati masyarakat.

Terang, dari perspektif Siti pula, boleh dianggap satu karya yang menjadi dorongan untuk masyrakat bangkit dalam apa jua keadaan.

“Terang adalah manifestasi yang menyentuh soal masyarakat hari ini supaya kita bangkit dalam apa juga keadaan,” ulas Siti Nurhaliza dalam wawancara bersama Astro AWANI.

Melodi Terang, yang dihasilkan penggubah lagu Aubrey Suwito dan liriknya ditulis oleh Shah Samsiri, juga diperkenalkan sebagai tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.

“Bermula daripada album Fragmen lagi, saya memang menitikberatkan lirik positif. Tidak hanya kisah latarnya tetapi seni kata yang ditampilkan bersifat positif.

“Bagi saya, ia umpama sebuah tanggungjawab kerana melepasi usia dua dekad dalam industri muzik, saya harus menampilkan karya matang dari segala segi," ujar penyanyi berusia 40 tahun yang juga ibu kepada si cilik Siti Aafiyah Khalid.

Apabila ditanya mengenai reaksi peminat yang memberikan maklum balas positif berhubung lagu Terang, Siti Nurhaliza secara jujurnya sangat berbesar hati kerana karya terbaharunya itu disenangi ramai.

“Jujurnya, saya tak sangka lagu ini mendapat maklum balas cukup baik apabila saya membaca komen mengenainya. Ada yang mendapat inspirasi untuk terus bangkit setelah mendengarnya. Ia selari dengan matlamat saya untuk melihat karya dihasilkan memberikan manfaat kepada orang lain.

“Bagi saya, lagu ini karya yang mewakili kematangan diri sebagai anak seni, bagi memberikan sesuatu yang positif dan menerangi insan lain. Saya bukan sekadar penyanyi dan penghibur tetapi turut menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat," ujar Siti panjang lebar.

“Saya berterima kasih kepada pencipta dan penulis liriknya. Karya berkenaan ibarat jendela kepada kemunculan album baharu saya awal tahun depan,” tambah beliau lanjut.

Terang tidak hanya ditampilkan sebagai single semata-mata, sebaliknya, pengurusan Siti Nurhaliza turut menerbitkan video muzik yang sarat dengan mesej kemasyarakatan.

Video muzik arahan Nadiyah Zakariya itu turut menampilkan sekumpulan kanak-kanak yang melengkapi aspirasi Terang. 

- Agensi berita.FZ/fz

Top