Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tarian Sagayan dari Filipina antara daya tarikan pesta tarian Lintas Nusantara

Lintas Nusantara, pesta kolaborasi tarian tahunan yang menampilkan pelbagai jenis tarian dari Nusantara Melayu, akan menyajikan tarian Sagayan dari Mindanao buat pertama kalinya di Singapura hujung minggu ini (12 dan 13 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Tarian Sagayan dari Filipina antara daya tarikan pesta tarian Lintas Nusantara

Lintas Nusantara sebuah pesta kolaborasi tarian tahunan yang menampilkan pelbagai jenis tarian dari Nusantara Melayu.

SINGAPURA: Lintas Nusantara, pesta kolaborasi tarian tahunan yang menampilkan pelbagai jenis tarian dari Nusantara Melayu, akan menyajikan tarian Sagayan dari Mindanao buat pertama kalinya di Singapura hujung minggu ini (12 dan 13 Okt).

Pesta itu yang kembali buat kali kelapan, menampilkan lebih daripada 80 penari dan pemuzik dari Singapura, Indonesia dan juga Filipina.

Tahun ini, Lintas Nusantara bertemakan ‘Akibatnya’ bagi menilai akibat sejarah panjang penjajahan kepada tarian di Nusantara Melayu.

5 PERSEMBAHAN TARIAN SEIRING DENGAN TEMA 'AKIBATNYA'

Menurut Pengurus Program Taman Warisan Melayu, Encik Jamal Mohammad: "Untuk Lintas Nusantara tahun ini, kami ingin menunjukkan kesan penjajahan kepada masyarakat di Nusantara dan bagaimana ia dapat dikesan atau boleh dilihat melalui tarian, muzik dan juga bahasa kita."

Pesta Lintas Nusantara akan menampilkan lima jenis persembahan tarian dari daerah Indonesia dan Filipina iaitu - Beksan Floret & Bedhaya Renyep dari Jawa Tengah, Tari Turak Dewa dari Sumatra Selatan, Ronggeng dari Jawa Barat, Bakureh dari Sumatra Barat dan Sagayan dari Filipina.

Misalnya, Beksan Floret menggambarkan tindakan penjajah Belanda semasa penjajahan mereka atas Indonesia. Penari akan berpakaian kostum Belanda. Tarian itu juga menggunakan pedang, juga dikenali sebagai floret.

Tarian Turak Dewa pula secara lazimnya dipersembahkan bagi mengalu-alukan tetamu. Setiap penari pula membawa buluh yang dipenuhi nasi kunyit untuk memberkati tetamu. Namun, semasa zaman penjajahan Belanda, tarian itu digunakan untuk mengalihkan perhatian tuan asing dan membantu penduduk tempatan dalam serangan penjajah terhadap mereka.

Persembahan tarian pula akan diiringi oleh muzik yang dimainkan kumpulan-kumpulan tempatan Nobat Kota Singa dan Gamelan Singa Ngalaras, yang sudah melibatkan diri bersama Lintas Nusantara selama tujuh tahun berturut-turut.

Bagi penari Bakureh, Cik Yesniva Nursyam, beliau melahirkan rasa berbesar hati mendapat peluang keemasan menyertai pesta Lintas Nusantara buat pertama kali.

"Rasanya sebuah kesempatan yang luar biasa kerana bukan semua orang yang boleh mendapat peluang bergabung dengan beberapa negara dan juga berkolaborasi dengan kumpulan Singapura sendiri," kata beliau.

PENAMPILAN SULUNG TARIAN SAGAYAN

Seramai 10 penari dari Teatro Guindegan University La Salle dan Syarikat Tarian Danen-ao, akan menyerikan pesta itu dengan tarian Sagayan.

Sagayan merupakan tarian pahlawan yang merangkumi semangat pemberontak Maguindanao dan masyarakat Maranao terhadap masyarakat asing dan penjajahan. Ia juga mencerminkan semangat masyarakat Mindanao yang kental sehingga tidak pernah sesekali dijajah terutama sekali oleh Sepanyol, Amerika dan Jepun, selama lebih 400 tahun lamanya.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Pelajar Univerisiti La Salle (Filipina), Cik Chiedel Joan Gula San Diego: "Walaupun ia adalah tarian perang, terdapat juga aspek perdamaian yang dipersembahkan melalui tariannya dan perpaduan juga boleh dicapai walaupun dengan kepercayaan dan budaya yang berbeza di Mindanao."

“Kita juga dapat lihat persamaan dengan Indonesia dan penari Singapura kerana kita berkongsi budaya yang sama,” tambah salah seorang penari kumpulan itu.

Lintas Nusantara akan bermula pada jam 8.30 malam.

Terdapat juga pameran kecil pada 5.30 petang, yang menampilkan Tarian Balanse Madam dari Sumatera Barat. Persembahan selama 7 minit itu bakal mengajak para pengunjung untuk menari bersama, sambil mempelajari tentang hubungan sosial di Sumatera Barat semasa waktu penjajahan.

PESTA BUDAYA MELAYU SENARAIKAN KEGIATAN MENARIK

Lintas Nusantara adalah sebahagian daripada 18 persembahan di Pesta Budaya Melayu 2019 yang akan berlangsung bermula esok (11 Okt) hingga 2 November.

Para pengunjung juga boleh mendalami sejarah pembentukan Singapura menerusi bahan-bahan milik orang Nusantara Melayu dan Barat dalam pameran Seekor Singa, Seorang Putera, dan Sebingkai Cermin, bermula Sabtu ini (12 Okt).

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan