Images
  • awie
    Awi Rafael dan Atikah Suhaime sepatutnya mengadakan majlis perkahwinan mereka di Singapura pada 17 Mac ini. (Gambar-Gambar: Awi Rafael, Atikah Suhaime/Instagram)

'Tak sefahaman sekeluarga' punca perkahwinan dengan Awi dibatalkan, kata Atikah

BERITAmediacorp: Apa sudah jadi sebenarnya sehingga penyanyi serta komposer kelahiran Singapura, Awi Rafael, memuat naik catatan yang panjang di Instagram beliau baru-baru ini bahawa "Awi sekeluarga sudah pun bersiap sedia untuk Ahad ini... Namun untuk Awi... Awi dan keluarga tarik diri. Awi minta maaf, salam. Bismillah.”

Namun pada sekitar 5.00 petang Khamis (14 Mac), Awi dipercayai memadamkan catatan tersebut sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi motif beliau berkongsi kata-kata sedemikian baru-baru ini.

Mengikut perancangan, Awi Rafael serta tunangnya iaitu pelakon Singapura, Atikah Suhaime, sepatutnya mengadakan majlis perkahwinan mereka di Singapura pada 17 Mac ini di The Grassroots Club, Singapura.

Difahamkan, ramai juga teman-teman artis dari Singapura dan Kuala Lumpur dijangka hadir pada malam tersebut untuk berkongsi kegembiraan pasangan artis yang mengikat tali pertunangan pada 17 Mac tahun lalu dalam satu majlis tertutup di Singapura.

Sebelum ini, mereka mengatakan majlis mereka bakal diadakan pada 17 Mac ini memandangkan ulang tahun Atikah jatuh pada 15 Mac.

Percubaan BERITAMediacorp untuk mendapatkan penjelasan dari Awi Rafael menerusi telefon bimbitnya beberapa kali gagal pada hari Khamis (14 Mac).

Namun, kami berjaya untuk menjejaki pelakon Atikah Suhaime yang hanya menjawab soalan-soalan kami secara ringkas menerusi applikasi Whatsapp sahaja untuk mendapatkan perkongsian darinya mengenai pembatalan majlis perkahwinan mereka pada hujung minggu ini.

Ketika ditanya bilakah mereka memutuskan untuk membatalkan majlis mereka berdua, Atikah hanya menjawabnya sebagai “hanya semalam (Rabu) sahaja.”

Menjawab pertanyaan kami mengapakah majlis mereka dibatalkan, penyanyi kurus tinggi itu hanya menjelaskan “tak sefahaman sekeluarga".

Namun, beliau memilih untuk tidak menjelaskan lebih lanjut lagi apakah yang beliau maksudkan sebagai “tak sefahaman sekeluarga".

Menurut Atikah, mereka mencintai satu sama lain sehingga membuat keputusan untuk disatukan pada 17 Mac 2019 ini.

Terang Atikah: “We were in denial I guess. Because we love each other and we went ahead with preparations. (Mungkin kami dalam penafian. Kerana kami cinta satu sama lain dan teruskan persiapan)."

Selain itu, pelakon itu turut memberi bayangan bahawa "restu mak ayah lebih important (penting). Mana boleh kahwin tanpa restu," katanya ketika ditanya mengapakah mereka tidak mempertahankan cinta mereka berdua memandangkan mereka telahpun bertunang sebelum ini.

Sempat juga Atikah berkongsi bahawa "mereka menghormati kedua ibu-bapa mereka" atas keputusan untuk membatalkan sahaja perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada Ahad ini.

Apakah Atikah masih menyayangi Awi Rafael meskipun perkahwinan mereka dibatalkan kini?

Jawab beliau: "Ya. Masih. Kami sudah buat banyak perancangan. But everything is going down the drain (Segala-galanya musnah)."

Meskipun impian mereka untuk menjadi suami isteri tidak tercapai kini, Atikah secara jujurnya mengakui bahawa Awi Rafael ialah seseorang yang baik padanya selama ini. Kata beliau: “Dia menjaga saya dengan baik.”

Atikah tidak menafikan bahawa kesibukannya dengan kerja dapat juga melupakan kemelut yang dihadapinya itu.

Berita pembatalan perkahwinan pasangan tersebut turut mendapat perhatian segelintir artis serta peminat mereka yang rata-rata turut mendoakan agar mereka dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan baik.

Penyanyi Kaka Azraff antara artis yang telah meninggalkan komen di Instagram Atikah Suhaime agar, "Allah permudahkan segala urusan."

- BERITAmediacorp/ai

Top