Images
  • Masjid Baiturrahman
    Keadaan di sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di bahagian tengah bandar Palu selepas dilanda gempa dan tsunami pada 28 September. (Gambar: AFP)

Syarikat Yusof Haslam sumbang dana bina masjid untuk penduduk Palu

JAKARTA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membina empat buah masjid di Palu, Sulawesi Tengah selepas kebanyakan masjid di kawasan itu musnah atau mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata sebagai permulaan, sebuah masjid yang diwakafkan oleh pengeluar filem dan siri televisyen Malaysia, SKOP Productions Sdn Bhd, akan dibina di atas tanah seluas 1.5 hektar di Palu.

"Masjid wakaf SKOP Productions ini dijadualkan siap dalam tempoh 50 hari, atau sebelum Ramadan ini, bagi membolehkan masyarakat setempat mengimarahkannya pada bulan Ramadan," katanya.

Dr Ahmad Sani berkata pembinaan masjid itu adalah usaha berterusan MAPIM, yang sebelum ini menghantar 20 trak makanan dan pelbagai bantuan ke Palu selain membina perigi air untuk keperluan air bersih para penduduk.

Pada 28 September 2018, kejadian gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter di Sulawesi turut menyebabkan tsunami di Palu dan Donggala. Bencana alam itu meragut nyawa lebih 3,000 orang, selain menyebabkan kemusnahan teruk ke atas harta benda dan infrastruktur serta rumah ibadat.

"Sebanyak 99 masjid musnah dan beratus rosak teruk di Palu. Pembinaan tiga masjid lagi akan dibincangkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKOP Productions Yusof Haslam berkata sumbangan tersebut adalah tanda keprihatinan syarikat itu terhadap penderitaan penduduk Palu.

"Tragedi itu berlaku ketika filem box office kami, iaitu Munafik 2, ditayangkan di Indonesia. Ini adalah sumbangan kami untuk mereka dan kerja-kerja pembinaan masjid yang boleh memuatkan 300 jemaah itu akan bermula hari ini," katanya yang mewakili syarikat itu ketika menandatangani memorandum persefahaman dengan MAPIM bagi tujuan tersebut.

Ketua Bidang Bimbingan Masyarakat Islam Kementerian Agama Provinsi Sulawesi Tengah, Mohammad Ramli, berkata beliau amat berterima kasih atas bantuan tersebut.

"Saya lahir di Palu, dibesarkan di Palu, menjalani kehidupan di Palu. Dalam sekelip mata kampung halaman kami musnah. Sukar untuk saya gambarkan.

"Dilaporkan lebih 3,000 terkorban, tapi itu berdasarkan data pihak berkuasa, beribu masih hilang berdasarkan aduan waris,” katanya yang yakin bahawa jumlah mangsa yang hilang adalah jauh lebih besar berbanding angka rasmi yang dikeluarkan oleh pemerintah.

- BERNAMA/AI/ai

Top