Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Syarikat kosmetik Nursajat didenda; keluaran syarikatnya tidak berdaftar

Syarikat milik usahawan kosmetik Nur Sajat hari ini (13 Okt) didenda RM14,500 (S$4,800) oleh Mahkamah Majistret atas 17 pertuduhan memiliki dan menjual keluaran tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, dua tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat kosmetik Nursajat didenda; keluaran syarikatnya tidak berdaftar

(Gambar fail Bernama)

Diterbitkan : 13 Oct 2020 04:07PM Dikemas Kini : 13 Oct 2020 04:10PM

SHAH ALAM: Syarikat milik usahawan kosmetik Nur Sajat hari ini (13 Okt) didenda RM14,500 (S$4,800) oleh Mahkamah Majistret atas 17 pertuduhan memiliki dan menjual keluaran tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, dua tahun lalu.

Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd yang diwakili dua pengarahnya iaitu Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 35, dan Ashaari Maznan, 44, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapi.

Hanie Dzatul Akhmar menjatuhkan hukuman denda RM12,000 (S$3,900) bagi 12 pertuduhan manakala masing-masing RM500 (S$164) bagi lima lagi pertuduhan terhadap syarikat itu yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes berkenaan.

Mengikut 11 pertuduhan, OKS didakwa memiliki keluaran yang bukan keluaran berdaftar dan lima kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Serai Wangi K16/K, Seksyen 16 pada 15 Ogos 2018 pada pukul 11.40 pagi.

OKS juga didakwa dengan satu pertuduhan iaitu menjual keluaran yang bukan keluaran berdaftar kepada seorang wanita di lokasi dan tarikh yang sama kira-kira pukul 11.35 pagi.

Bagi kesalahan memiliki dan menjual keluaran tidak berdaftar, OKS didakwa mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

Bagi kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi pula, OKS dituduh mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18A (15) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

Jika disabit kesalahan bagi kesemua pertuduhan, OKS boleh didenda sehingga RM50,000 (S$16,000) bagi kesalahan pertama dan maksimum RM100,000 (S$33,000) bagi kesalahan kedua.

Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Nor Afizah Latip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS sebagai pengajaran memandangkan Akta Kawalan Dadah diwujudkan sebagai kawalan kepada keselamatan kualiti produk bagi tujuan melindungi kesihatan awam.

Peguam bela OKS, Hasshahari Johari Mawi menyatakan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pengarah memohon maaf terhadap kekhilafan dan kesilapan itu malah berjanji untuk lebih berhati-hati supaya tidak melanggar peraturan selepas ini.

"Barang-barang kes yang dijumpai itu juga bukan untuk jualan besar-besaran. Ia adalah sampel yang disimpan oleh syarikat bagi tujuan rujukan," katanya.

Sebelum ini difahamkan bahawa Nur Sajat dikenakan waran tangkap pada 12 Mac lalu selepas gagal hadir di mahkamah bagi prosiding kes itu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan