Images
  • suria awards
    (Gambar: Mediacorp Suria)

Suria menang 11 anugerah di Pesta TV dan Filem New York 2019

SINGAPURA: Saluran Suria memenangi 11 anugerah di acara Anugerah TV dan Filem Pesta New York 2019.

Kemenangan itu terdiri daripada sebutir Pingat Perak bagi dokumentari Jasa Aktivis dan satu Pingat Gangsa bagi Persembahan Terbaik Pelakon Wanita yang dimenangi Seriwahyuni Jaes bagi wataknya dalam cerita Bonda.

Suria juga turut memenangi sembilan anugerah finalis yang lain.

DOKUMENTARI YANG MENYENTUH HATI

Dokumentari Jasa Aktivis mendapat pingat perak bagi kategori Keprihatinan Manusia.

Diiktiraf atas penerokaan yang mendalam ke atas sesuatu topik atau perkara, Jasa Aktivis juga menceritakan perjalanan lapan aktivis sosial yang melakukan kegiatan sosial yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

Antara episod yang terserlah adalah bagaimana sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) membantu para ibu di sini yang dikurung bersama anak-anak mereka.

PERSEMBAHAN YANG MANTAP

Selain itu, personaliti tempatan Seriwahyuni Jaes memenangi pingat gangsa bagi Persembahan Terbaik Pelakon Wanita.

Beliau diberikan pengiktirafan berkenaan bagi usahanya memainkan watak Suzana dalam telefilem Bonda.

Seriwahyuni bukan saja memukau para penonton dengan watak Suzana yang mengalami gangguan bipolar tetapi beliau juga merupakan pengarah dan penulis skrip telefilem tersebut.

Dalam Pesta Perdana 2019 yang diadakan baru-baru ini, Bonda dicalonkan bagi kategori Pengarah Terbaik - Drama, Skrip Terbaik - Drama dan Pelakon Wanita Utama Terbaik - Drama Khas / Antologi.

Senarai penuh anugerah yang diterima Suria dalam Anugerah TV dan Filem Pesta New York 2019 adalah seperti berikut:

PEMENANG PINGAT:

1. Jasa Aktivis (Dokumentari Keprihatinan Manusia) Xtreme Media Pte Ltd

2. Bonda (Persembahan Terbaik oleh Pelakon Wanita) Seriwahyuni Jaes, Poetry In Motion Pte Ltd

ANUGERAH FINALIS:

1. Projek Kasih 2018 (Hiburan Khas) - Mediacorp Eaglevision

2. Bonda (Drama Khas) - Poetry In Motion Pte Ltd

3. SR115 (Drama) - Papahan Films

4. SR115 (Drama Digital) - Papahan Films

5. SR115 (Lakon Layar Terbaik) Papahan Films

6. Kembara Kasih 3 (Program Khidmat Masyarakat) - Filmat36 (S) Pte Ltd

7. Jasa Aktivis (Isu Sosial) - Xtreme Media Pte Ltd

8. Mekah Di Hati (Persembahan Terbaik oleh Pelakon Lelaki) Aiman Hakim, Flipside Stories Pte Ltd

9. Mekah Di Hati (Persembahan Terbaik oleh Pelakon Wanita) Izyan Mellyna, Flipside Stories Pte Ltd

- BERITAmediacorp/tq

Top