Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Suhaimi Yusof mungkin kembali lagi ke Malaysia “2-3 tahun lagi”

Pelakon dan pengacara Suhaimi Yusof nampaknya sibuk dan murah betul rezekinya. Mengapa? 

Anggaran Waktu Membaca:
Suhaimi Yusof mungkin kembali lagi ke Malaysia “2-3 tahun lagi”

Suhaimi Yusof. (Gambar: Fly Entertainment)

Diterbitkan : 30 Jul 2018 10:06PM Dikemas Kini : 30 Jul 2018 10:32PM

BERITAMediacorp: Pelakon dan pengacara Suhaimi Yusof nampaknya sibuk dan murah betul rezekinya. Mengapa? Antara projek terkininya adalah menerbitkan rancangan chatshow berjudul The Samsons terbitan syarikatnya sendiri iaitu Ideafact3 Pte Ltd.

Rancangan itu bakal ditayangkan di saluran Suria pada penghujung tahun ini. Beliau turut mengacarakan The Samsons bersama Khairudin Samsudin, Izyan Mellyna dan Era Farida.

Bukan itu sahaja, pada Ogos nanti Suhaimi akan turut berlakon untuk drama bersiri Mandarin yang kedua baginya untuk Saluran 8 berjudul Say Cheese. Beliau akan disamping pelakon mapan drama-drama Cina iaitu Chen Liping, Joanne Peh dan Romeo Tan.

Suhaimi Yusof bersama Chen Liping. (Gambar: Suhaimi Yusof)

(Gambar: Suhaimi Yusof)

Hakikatnya, anak seni Singapura itu merupakan artis pelbagai bakat. Baru-baru ini beliau turut terlibat dalam persembahan Happy Ever Laughter The Battle, Stand Up Comedy Madness dari 11 Julai 2018 sehingga 29 Julai 2018 bertempat di Capitol Theatre.

Acara komedi itu disertai para pelawak tempatan berbilang kaum termasuk Irene Ang, Koh Chieng Mun, Selena Tan, Sebastian Tan, Kumar, Alaric Tay, Judee Tan, Sharul Channa, Fakkah Fuzz, Preetipls dan Rishi Budhrani.

Kita juga tahu Suhaimi pernah sibuk dan aktif di Malaysia. Beliau juga sebelum ini pernah menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega yang popular. Jadi bagaimana pula dengan kerjaya seninya di Kuala Lumpur? Ini jawab Suhaimi dengan penuh bermakna:

“Pada ketika ini, saya kurang aktif di KL kerana masa tak mengizinkan. Berbeza dengan di Singapura, di mana ke sana dan ke mari hanya beberapa minit, di KL anda perlu komitmen yang tinggi kerana jarak perjalanan dan gaya kerja yang berbeza. Mungkin saya akan kembali dalam masa 2-3 tahun lagi untuk menjelajah peluang sebagai penerbit, jika diizinkan. Juga bergantung pada waktu yang ada.”

The Samsons. (Gambar: Suhaimi Yusof)

(Gambar: Suhaimi Yusof)

SELEPAS HAMPIR 10 TAHUN DI FLY ENTERTAINMENT…

Suhaimi pernah menggondol beberapa anugerah termasuk Pelakon Komedi Terbaik dalam majlis Anugerah Television Asia 2011 bagi lakonannya dalam siri popular The Noose. Lantaran itu ramai yang mengakui bahawa Suhaimi Yusof cukup layak untuk dikatakan sebagai antara segelintir artis Melayu Singapura yang juga berjaya menambat pasaran bukan Melayu.

Sebelum ini beliau pernah diberi kepercayaan untuk berlakon bersama pelawak Hong Kong terkenal Lydia Shum Din-Ha menerusi sitcom Living With Lydia. Suhaimi juga pernah terlibat untuk siri komedi lain bersama Saluran 5 Mediacorp seperti Police & Thief dan The Noose yang mendapat sambutan baik dari penonton.

Namun, daripada seorang ‘tauke sendiri’ yang memiliki Q&Que Management, bapa kepada tiga orang anak ini membuat satu keputusan niaga pada tahun 2009. Ini apabila beliau menyerahkan pengurusan dirinya sebagai artis kepada syarikat Fly Entertainment yang dimiliki oleh pelakon/pelawak Irene Ang. Sehingga kini hanya seorang sahaja artis Melayu yang diuruskan oleh Fly Entertainment.

“Ini memberi saya lebih ruang untuk tumpukan perhatian kepada kerja-kerja kreatif yang lain. Pada saya, ini adalah satu gabungan yang ‘win-win’ (saling menguntungkan),” katanya kepada BERITAMediacorp baru-baru ini.

Suhaimi Yusof bersama Irene Ng. (Gambar: Suhaimi Yusof)

(Gambar: Suhaimi Yusof)

Kami bertanyakan kepada beliau, sama ada pengurusan kerjaya seninya lebih lancar setelah diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan bukan Melayu itu. Ini jawapan Suhaimi:

“Saya sudah pun mempunyai pasaran yang stabil ketika itu dan urusan dilakukan oleh syarikat saya sendiri. Apabila saya berkeputusan untuk bersama FLY Entertainment… ini mempermudahkan lagi dari segi urusan. Saya lihat dari sudut kerjasama dua syarikat, bukan hanya setakat peranan artis yang diuruskan semata-mata.”

MELAYU S’PURA ADA SEJARAH KEJAYAAN SENI ANTARABANGSA

Bagi Suhaimi sebagai artis berpengalaman, “bangsa dan kulit hanya pada pandangan fizikal”. Ini kerana sama ada dalam bidang lakonan, teater atau pengacaraan, “kita sering berteman atau berpasukan” kata beliau.

“Bila bercampur dengan teman-teman bukan Melayu, saya dapat pelajari sikap, pemikiran dan cara kerja yang baru setiap kali. Itu yang membuat saya ghairah untuk... Kewangan adalah perkara kedua,” kongsi Suhaimi kepada BERITAMediacorp.

Kami turut cuba mencungkil sama ada beliau bersetuju bahawa beliaulah satu-satunya artis Melayu Singapura yang berjaya menawan pasaran bukan Melayu dan diterima oleh peminat-peminat bukan Melayu setempat?

Suhaimi menjawab dengan bergurau bahawa mungkin beliau sudah disenaraikan ke dalam Rekod Dunia Guinness sekiranya tanggapan itu benar. Namun ini sesuatu yang dikongsinya secara bersungguh-sungguh:

Suhaimi Yusof. (Gambar: Fly Entertainment)

(Gambar: Fly Entertainment)

“Saya melihat sejarah kejayaan orang kita sendiri dan ambil inspirasi dari perkara tersebut. Contohnya, pada tahun 1960-an, seorang anak Melayu Singapura, Khalid Ibrahim aka Cal Bellini, berjaya menembus pasaran Barat.” Cal Bellini antara lain pernah berlakon dalam siri drama Hollywood seperti Hawaii Five-0, The Streets of San Francisco, Cannon, Barbaby Jones dan Little House on the Prairie.

“Juga pengalaman pelakon handalan Allahyarham Osman Zailani termaktub dalam minda saya ketika menonton beliau dalam Hawaii Five-O di waktu saya kecil. Ramai juga anak Melayu kita seperti Najip Ali, Rahimah Rahim, Anita Sarawak dan lain-lain yang jauh lebih berjaya ketika saya masih bertatih-tatih dengan dunia seni. Ini semua menjadikan saya lebih bersemangat untuk berjaya dalam bidang yang sama. Tiada batasan sebenarnya,” ujar Suhaimi lagi.

3 PETUA DARI SUHAIMI YUSOF

Tapi itu dahulu. Apakah kini para artis Melayu mampu untuk menembusi pasaran bukan Melayu seperti tokoh-tokoh seni yang disebutkan di atas?

“Jangan kata artis Melayu, setiap artis pun akan rasa sukar nak ukir nama di persada seni, tak kira Melayu atau bukan Melayu. Malah, bukan senang nak jadi doktor, peguam, arkitek atau ketua masyarakat. Tapi kenapa ada yang boleh berjaya dan tembusi pelbagai pasaran? Fahamkan kekuatan diri dan fahamkan keperluan pasaran,” jawabnya panjang lebar untuk temu bual ini.

Suhaimi Yusof. (Gambar: Fly Entertainment)

(Gambar: Fly Entertainment)

Sebagai orang lama, Suhaimi yang tahun ini akan berusia 49 tahun, berkongsi beberapa tips bagi artis tempatan untuk mencuba pasaran bukan Melayu di sini:

Seni adalah perniagaan

Anggap bidang yang diceburi sebagai perniagaan. Dapatkan ilmu melalui kursus-kursus perniagaan. Kita akan lebih serius dengan kerjaya dan terbuka untuk berniaga bagi setiap pasaran. Kalau jual epok-epok sardin hanya untuk orang Melayu saja, maka produk dan pasaran akan hanya terhad pada pasaran Melayu. Strategi menjual epok-epok pun berbeza ikut pasaran.

Kita produk hebat

Sebagai penggiat seni, kita sendiri adalah produk perniagaan. Setiap pelanggan atau peniaga suka dengan produk yang hebat. Belajar cara meningkatkan kehebatan atau kecenderungan diri.

Jangan sombong

Jangan cepat bongkak. Setiap orang ada keunikan diri sendiri. Semua perlu dihormati. Penting untuk kita bercakap dan lebih penting untuk banyak mendengar. Nilai seperti ini tidak ada batasan kaum. Ini adalah nilai sejagat. Orang suka bekerja dengan orang yang tidak sombong.

Itulah kata-kata seorang veteran yang bercakap berdasarkan pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia hiburan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan