Images
  • elfira sufian
    (Gambar: @sufianators/@elfiraloy/Instagram)

Sufian sangkal dakwaan lagu persembahan AJL33 ditujukan kepada Elfira

KUALA LUMPUR: Dalam acara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33), persembahan penyanyi Sufian Suhaimi menarik perhatian ramai peminat kerana ia begitu menyentuh jiwa.

Lagu "Di Matamu" tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat apatah lagi ia dikeluarkan selepas Sufian putus tunang dengan pelakon cantik, Elfira Loy.

Elfira Loy baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairol Anwar bulan lalu.

Dalam persembahannya semalam (3 Feb), Sufian memulakan persembahan dengan sekuntum sajak sebelum mula bernyanyi lagu 'Di Matamu'. Namun, latar pentas begitu mirip dengan pelamin majlis pernikahan dan persandingan Elfira. Hanya sahaja, Sufian dalam persembahannya, berdiri berseorangan di atas 'pelamin'.


Sufian kemudian dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu itu. Kecoh di media sosial - tetapi bukan kerana dia memenangi anugerah tetapi tentang persembahan yang seolah-olah ditujukan kepada Elfira.

Elfira, yang sedang menunaikan ibadah umrah bersama suaminya pula mendapat tahu tentang persembahan itu dan memilih untuk mengulas tentangnya menerusi satu kiriman tweet.

"Sufian Suhaimi , saya doakan awak menang harini . Semoga dengan kemenangan awak, 'derita' & penceritaan awak akan habis," tulis Elfira.

Ramai netizen membuat spekulasi bahawa pelakon itu sebenarnya tersinggung dengan 'penceritaan' Sufian yang kelihatan seperti mengisahkan hubungan mereka yang tidak kesampaian.


Namun, semasa ditemui mStar, Sufian menjelaskan bahawa ia tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan memohon maaf sekiranya ada yang terasa hati.

"Saya tidak cuba serang sesiapa... Mana-mana pihak yang terasa hati saya mohon maaf."

"Memang ini lagu sedih dan berkaitan putus cinta... bukan saya seorang yang pernah mengalami putus cinta, jadi saya cuba menyampaikan sebaik mungkin," jelas Sufian kepada mStar.

Menyentuh tentang isu pelamin yang kelihatan begitu sama dengan pelamin Elfira pula, Sufian mengatakan beliau tidak mengetahui tentang hal itu kerana tida pernah memberikan tumpuan kepada rekaan pelamin orang lain.

Menjawab mengenai dakwaan kiriman tweet Elfira yang berbunyi seperti satu sindiran, ini kata Sufian: "Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik. Pada saya niat itu baik... Tiada apa yang silap pun dalam kiriman tweet tersebut."  

- Agensi berita/AQ/aq

Top