Images
  • sufi rashid tunang
    Sufi Rashid bersama tunangnya, Nurulain Md Yusof, gadis asal Negeri Sembilan, (Gambar: Sufie Rashid/Instagram) 

Sufi Rashid nikah 21 September ini di M’sia, majlis di S’pura pada 28 Sep

BERITAmediacorp: Penyanyi Sufi Rashid akan bernikah pada 21 September ini – beberapa bulan lebih awal berbanding tarikh Disember yang disebutnya tahun lalu.

Majlis pada 21 September diadakan di Malaysia, manakala bagi majlis di Singapura pula, ia akan dianjurkan seminggu kemudian, iaitu pada 28 September.

Penyanyi Singapura yang aktif di Malaysia itu bertunang dengan pilihan hatinya, Nurulain Md Yusof, pada 15 Disember tahun lalu.

Jejaka berusia 28 tahun itu menyatakan, beliau akan memberi peluang kepada peminat-peminat Singapura untuk menghadiri majlis resepsi pasangan tersebut pada 28 September nanti. Namun peminat perlu RSVP dahulu sebelum mendapat lampu hijau dari pihak Sufi untuk hadir.


Sekitar 1,500-2,000 tetamu dijangka hadir untuk majlis yang bakal diadakan di Singapura, kata Sufi kepada BERITAmediacorp.

“Ia akan berlaku sekali saja dalam hidup, I nak kongsi dengan peminat, famili dan teman semua. Peminat pun antara yang paling penting dalam kerjaya jadi mereka perlu ada di sana,” kata beliau.

KALAU BOLEH ‘TAK NAK SPONSOR’

Sama seperti artis-artis popular lain yang bakal bergelar Raja Sehari, Sufie turut didatangi beberapa penaja untuk majlis mereka. Cuma Sufie mengaku lebih selektif:

“Tak semua pakaian ditaja, kalau boleh tak naklah sponsor sana sini, kita nak rasa sendiri berapa kita bayar jadi bila kita dah ada anak-anak kita boleh kongsi dengan mereka saya dah habiskan jumlah sekian untuk baju.”

Sufie turut mendedahkan akan membuat satu ‘surprise’ (kejutan) pada hari persandingan mereka nanti, namun enggan menyatakan, apakah kejutan tersebut.


Sufi Rashid mengikat tali pertunang bersama gadis asal Negeri Sembila, Nurulain Md Yusof, pada 15 Disember 2018. (Gambar: Sufie Rashid/Instagram)

Yang pasti, satu lagi perkembangan positif ialah pengakuan Sufi bahawa selain bakal menjadi seorang suami, hubungan beliau dengan ibunya, Irma Suriana Mahamud, juga sudah kembali baik.

Orang ramai memang sedia maklum tentang pelbagai laporan tentang pasang surut hubungan ibu-anak itu sebelum ini, yang diluahkan menerusi akaun Facebook si ibu.

Menjelaskan hal tersebut, Sufie berkata: “Sebagai ‘public figure’, kita perlu kongsi benda-benda yang elok. Insya Allah hubungan saya dengan ibu dan keluarga semua ok.”

“NETIZENS MENCAMPURADUKKAN BENDA-BENDA NEGATIF”

Jadi, sejak bilakah hubungan mereka kembali jernih?

“Baru-baru ni jugaklah, keadaan tak seteruk dulu. Kita semua faham seorang ibu itu mempunyai tekanan dia, ada sebab kenapa dia tertekan. Antara satu sebab yang buat dia tertekan bila orang sekeliling, netizens mencampuradukkan benda-benda yang negative,” terang Sufi.


Warga internet pernah melontarkan ayat-ayat “tidak elok selain memaki-hamun, menyalahkan keluarga dan ibunya” apabila timbul isu hubungannya dengan ibu tegang sebelum ini. Tambah Sufi dengan nada serius:

“Benda itu sesiapa saja yang baca bila ia dilontarkan pada diri dia, dia akan rasa marahlah. Sebenarnya isu itu taklah besar tapi mereka yang besarkan. Netizens ibarat mencampakkan lebih garam.”

Padanya, apabila netizens komen sedemikian, ia akan memburukkan lagi keadaan. Sufi akui sudah lali dengan komen-komen negatif terhadap dirinya sebagai artis tetapi tidak ibunya.

“Kalau ia ke arah ibu saya, saya percaya sudah tentu dia akan marah sebab apa yang netizens lontarkan adalah benda-benda yang salah, benda-benda fitnah, maki hamun macam mengapi-apikan keadaan. Itu yang tidak membantulah,” cerita beliau.


PABILA NETIZENS “CUBA JADI USTAZ, USTAZAH, KAUNSELOR…”

Ada juga yang pernah menghantar direct message kepadanya di Instagram sebelum ini, menurut penyanyi itu yang terkini muncul dengan single terbarunya berjudul Implikasi:

“Ada jugak DM nak cuba jadi ustaz, ustazah, kaunselor, nak cuba arah-arah saya, sama jugak mereka nak cuba api-apikan dan cakap kena buat itu ini tapi benda itu tak menjejas saya sebab saya dah laluinya lama. Saya risau untuk ibu saya bila adalah makcik-makcik yang cuba nak campur aduk dan kasi pandangan pada ibu saya.”

Beliau turut ditanya mengenai luahan ibunya di Facebook sebelum ini seolah-olah Sufi tidak menghargai ibu sendiri. Apa pula respons penyanyi tersebut mengenai perkara ini? Ini jawapan terperinci Sufie:

“Terus terang, saya tak tahu apa yang dia (ibu) post sebab benda-benda macam tu saya tak nak baca. Saya sedar jika saya buat salah tapi kalau saya tahu saya tak lakukan sedemikian, saya tak patut nak komen apa-apa sebab niat kita antara kita dengan Tuhan.


“Sama ada benda itu betul atau tidak saya macam abaikan ibu saya ke, saya jauhkan diri saya dari ibu saya ke, saya tak perlu nak kongsi sebab apa yang saya lakukan untuk silaturahim dengan keluarga saya itu Tuhan tahu.”

Beliau menambah, setiap anak haruslah ada inisiatif sendiri untuk berbaik semula dengan ibu sekiranya berlaku kemelut. Yang penting, beliau mengaku rasa lega sekarang ini memandangkan hubungan dengan ibu baik.

Jadi, adakah ibunya akan membantu juga untuk persiapan hari bahagianya nanti?

Sufi menjawab bahawa beliau akan bertanya ibunya mengenai hal ini kerana kalau boleh, Sufie tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak termasuk keluarga sebelah tunangnya.

“Kami nak pastikan pilihan itu wajar agar kita dapat ambik hati semua orang. Jadi kalau ibu saya ingin terlibat sudah semestinya saya akan tengok dan kalau saya rasa dia boleh tolong, dia boleh tolong. Kalau tidak, saya akan buat sendiri jadi dia boleh berehat. Kalau boleh tak nak susahkan sesiapa termasuk ibu saya.” 

- BERITAmediacorp/fz

Top