Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Sudah jadi realiti kehidupan individu tunggang agama demi kepentingan peribadi, kata Zul Ariffin

Bertembung dengan pihak yang menunggang agama bukanlah sesuatu yang jarang berlaku lagi sekarang ini, kata Zul Ariffin.

Anggaran Waktu Membaca:
Sudah jadi realiti kehidupan individu tunggang agama demi kepentingan peribadi, kata Zul Ariffin

Zul Ariffin dalam Penunggang Agama 2. (Gambar: Kosmo)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 10:43AM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 10:44AM

KUALA LUMPUR: Bertembung dengan pihak yang menunggang agama bukanlah sesuatu yang jarang berlaku lagi sekarang ini, kata Zul Ariffin.

Menurut pelakon itu, bertemu dan melihat pihak tertentu memanipulasi agama untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu sudah menjadi realiti kehidupan ramai.

Beliau menambah biasanya keadaan itu berlaku apabila individu terbabit mempunyai ilmu agama namun enggan untuk memanfaatkan kelebihan itu mengikut cara yang sewajarnya, lapor Malaysiakini.

“Saya rasa, orang mungkin boleh berjumpa penunggang agama sekurang-kurang sekali seminggu. Jika seseorang itu memiliki ilmu agama, tapi dia tak praktikkan (dengan baik) akan jadi begitulah,” katanya.

Zul Ariffin yang dilaporkan media tempatan mula menyertai pendakwah terkenal Ebit Lew sebelum ini menjelaskan atas sebab itu jugalah seseorang Muslim harus menunjukkan perangai yang baik agar boleh menjadi teladan kepada orang lain.

“Dalam kalangan orang bukan Islam, mereka tak baca al-Quran, sebaliknya mereka 'baca' perangai kita (orang Islam),” katanya.

Individu 34 tahun itu berkata demikian di sidang media untuk mempromosikan filem terbaru lakonannya, Penunggang Agama 2, yang diadakan secara maya kelmarin.

Ditanya pengalamannya bersama Ebit Lew, Zul Ariffin berkata tiada istilah 'berhijrah' kerana baginya, dia hanya mendalami agama, lapor Malaysiakini.

“Sekali sekala rasa bertuah dapat bersembang dengan seseorang seperti Ebit. Sebab pada waktu lain kita tak bersembang perkara macam tu. Kadangkala betapa seseorang perlukan perkara macam tu, tapi kita tak sedar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zul Ariffin dalam soal itu, dia tidak perlu menunjuk-nunjuk kepada sesiapa akan apa-apa juga amalan kerana ia adalah urusan peribadinya dengan Tuhan.

“Pacak tripod (alat menopang kamera) rakam tengah sembahyang... itu bukan saya. Senang cerita, jangan pergunakan agama untuk kepentingan sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas kontroversi yang melanda Ebit Lew, Zul Ariffin menjawab: “Saya tak pernah tanya atau persoalkan pada dia.”

Katanya, setiap manusia sentiasa ada ujian masing-masing dan sedar dirinya bukanlah siapa-siapa untuk menilai personaliti berkenaan.

“Saya cuma minta dia dapatkan rehat yang secukupnya dan makan makanan yang berkhasiat sebab sering keluar, bantu orang, dia nampak penat," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan