Images
  • fauziah latiff
    (Gambar: Kit Rushuhaimin/Instagram)

Suasana Aidilfitri sekarang kurang serinya buat Fauziah Latiff

KUALA LUMPUR: Penyanyi Fauziah Latiff meluahkan rasa rindu akan suasana Aidilfitri pada zaman dulu kala terutama ketika beliau masih kanak-kanak.

“Saya rindu waktu kita dulu ada kad raya dan selepas itu satu persatu kita akan balas (kad raya).

“Terkadang ada juga yang saya buat sendiri, seronok rasanya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff itu juga berkata kini suasana Hari Raya lebih moden dan tidak begitu mengamalkan tradisi terdahulu.

“Kalau dulu, kita akan sibuk kacau dodol, rewang, masak macam-macam juadah.

“Sekarang kita semua lebih pilih untuk beli dari kedai jadi suasana meriah itu dah kurang,” ujarnya.

Penyanyi Terpisah Akhirnya itu juga menjelaskan masyarakat kini seolah-olah tidak berusaha untuk mengembalikan nostalgia Aidilfitri sedemikian.

“Waktu dulu, orang tua semua bersusah-payah seminggu sebelum raya nak siapkan macam-macam benda.

“Sekarang, semua pakai barang segera saja. Saya rindu nostalgia Aidilfitri,” luah Fauziah.

Mengulas lanjut suasana Syawal sekarang kepada Malaysiakini, Fauziah menjelaskan bahawa lebaran kini kurang bermakna buatnya lebih-lebih lagi kerana anak-anaknya berada jauh di perantauan.

“Anak-anak saya semua belajar di UK, saya jarang dapat bertemu dengan mereka.

“Dah bertahun tidak dapat beraya bersama mereka kerana masing-masing sibuk belajar. Saya rindu ingin beraya bersama mereka,” katanya.

Menurut Fauziah lagi, beliau kerap berhubungan dengan anak-anaknya untuk bertanya khabar terutama menjelang Aidilfitri.

“Saya telefon mereka, bertanya perkembangan mereka dan bagaimana suasana raya di sana.

“Tetapi jarak waktu kita juga berlainan, jadi susah untuk berhubung,” terang Fauziah lagi. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top