Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Studio 'jamming' milik Melayu ini cuba ketengah kugiran kepada penonton antarabangsa

Kini 'Live Sessions Singapore' berharap dapat terus mengasah lebih banyak lagi bakat serta memberikan bantuan kewangan kepada para seniman yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam kesibukannya memandu teksi sepenuh masa demi menyara ibu bapanya, Encik Rosli Mohamat sempat meluangkan masa bersama kugirannya demi cintanya kepada muzik.

Sungguhpun berjaya menghasilkan 14 karya asli sejak 10 tahun lalu, kugiran 'Mushroom' yang dianggotainya hakikatnya 'tak ke mana' kerana masih belum mendapat sebarang peluang rakaman mahupun persembahan.

Namun, rezeki seolah-olah datang bergolek apabila bakat kugirannya dikesan secara tidak sengaja semasa satu sesi 'jamming'.

Mereka kemudian diundang menyertai 'showcase' anjuran syarikat 'Live Sessions Singapore'.

Menurut Encik Rosli: "Program 'YouTube Channel Showcase' ini memberi peluang untuk kugiran-kugiran di Singapura menyebarkan sayap mereka di lelaman YouTube.

"Ia dapat memberi peluang untuk kami mencari rezeki... di Singapura ataupun di luar negara," kata Encik Rosli, yang sudah berkecimpung dalam bidang muzik sejak di sekolah menengah lagi.

BAKAT TEMPATAN PUNYA "HASIL CIPTAAN BAIK DAN KREATIF"

Menampilkan 12 kugiran tanahair, program 'YouTube Channel Showcase' itu adalah wawasan pengasas studio muzik 'Live Sessions Singapore', Encik Ja'afar Juma'at.

"Ramai bakat tempatan kita mempunyai hasil ciptaan yang baik dan kreatif tetapi tidak tahu di mana atau bagaimana untuk menyalurkan atau membuat penyebaran muzik mereka.

"Dengan ini, Insya-Allah akan kami cuba ketengahkan mereka ke mata dunia mungkin dengan mengadakan konsert-konsert yang lebih gah lagi," ujar Encik Ja'afar yang menubuhkan studio muziknya ini sejak 2017.

YANG BARU DIDAHULUKAN, YANG LAMA TIDAK DILUPAKAN

Prihatin juga tentang nasib kehidupan seniman di sini, syarikat 'Live Sessions Singapore' turut memberi penghormatan kepada pelawak tempatan, Alias Kadir menerusi satu dana ikhlas semasa satu konsert sekitar seminggu lalu (30 Jun).

Terharu dengan sumbangan yang diterima, Alias Kadir berkata beliau hanya diberitahu oleh Encik Ja'afar bahawa beliau akan menerima sumbangan "derma kilat".

"Aduh...bila saya kira masya-Allah, rezeki itu sampai macam gitu lumayan diberi pada saya," kata Alias Kadir dengan penuh kesyukuran.

Kini 'Live Sessions Singapore' berharap dapat terus mengasah lebih banyak lagi bakat serta memberikan bantuan kewangan kepada para seniman yang memerlukan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan