Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Stesen radio Warna, Ria suntik kesegaran dengan rancangan baru untuk tepati cita rasa pendengar

Stesen radio Melayu Mediacorp, Warna 94.2 dan Ria 89.7 kini menyajikan rancangan lebih segar di udara.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Stesen radio Melayu Mediacorp, Warna 94.2 dan Ria 89.7 kini menyajikan rancangan lebih segar di udara.

Sebanyak sembilan perubahan segmen dilancarkan awal bulan ini demi menepati cita rasa pendengar.

Atas permintaan peminat, segmen Paparazzi Pagi yang dikendalikan pasangan DJ Azlin Ali dan Adi Rahman kembali menemani pendengar stesen Ria 89.7 sejak 1 September lalu dalam gandingan semula pasangan penyampai ini setelah lima tahun menyepi.

"Jadi persiapan itu, bila sudah tinggal dua tiga hari itu, saya tidak boleh tidur. Serius. Tertanya dalam hati itu “keserasiannya masih ada tak”? Tetapi ternyata, Adi ini seorang teman yang sentiasa melengkapi jadi saya kira tidak ada masalah kalau kami ini ke udara, keserasian itu tetap ada," kongsi penyiar Ria 89.7 FM, Azlin Ali.

Pengenalan semula Paparazzi Pagi merupakan satu daripada sembilan perubahan pada rancangan stesen-stesen Warna 94.2 dan Ria 89.7 pada awal bulan ini.

Warna memperkenalkan tiga segmen baru, termasuk rancangan Warna Kejora yang menampilkan sesi berkaraoke bersama DJ Sue Kassim setiap malam dari Isnin hingga Jumaat.

Para pendengar juga diajak mengasah minda dalam permainan Peti Bahasa untuk peluang memenangi S$5,500.

Ria pula menjalani rombakan, dengan hampir kesemua rancangannya diberi nama dan suara baru.

KEAKRABAN ANTARA PENYAMPAI DENGAN PENDENGAR

Menurut Ketua Unit Audiens Melayu Mediacorp Sabariah Ramilan, perubahan-perubahan tersebut dilakukan berlandaskan maklum balas pendengar bagi menyuntik kesegaran.

"Biarpun banyak persaingan dan berdepan dengan banyak cabaran digital yang amat pesat berubah ini, interaksi secara langsung dengan para deejay dan para pendengar adalah sesuatu yang unik bagi radio," kata Cik Sabariah.

"Keakraban inilah yang menambah nilai bagi stesen Warna dan Ria untuk terus jadi platform perkongsian informasi, lagu-lagu yang menghiburkan, rancangan-rancangan yang berkualiti dan yang relevan, dan mengetengahkan isu-isu dan topik-topik yang dekat di hati para pendengar."

Menurutnya lagi, kandungan di platform-platform media sosial Warna dan Ria menerima sambutan yang baik sejauh ini dan usaha tersebut akan diteruskan bagi mendekatkan lagi para penyiar dengan pendengar.

Selain di corong radio, Warna 94.2 dan Ria 89.7 boleh dinikmati melalui aplikasi MeListen. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan